Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Jabatan Hal Ehwal Masjid kelmarin mengadakan Tadabbur Surah Al-Fatihah bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.
Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama beberapa ahli jawatankuasa takmir masjid terpilih itu juga diadakan serentak di masjid terpilih di keempat-empat daerah.
Majlis dimulakan dengan Tadabbur Surah AI-Fatihah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohammad Ali.
Antara tujuan acara itu diadakan adalah untuk melatih murid-murid supaya dapat membiasakan diri dengan ayat suci Al-Quran.
Di samping dapat melatih murid-murid supaya dapat menghafaz dan menghayati terjemahan Surah Al-Fatihah.
Semoga program seumpama itu akan dapat membentuk kanak-kanak khususnya penuntut Kelas Al-Quran dan Muqaddam menjadi seorang yang dapat membaca dan menghayati kefahaman Surah Al-Fatihah itu dengan betul dan lancar.
