Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Seramai 75 orang menghadiri Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 anjuran Badan Sukarelawan Belia Daie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), kelmarin.
Mereka yang hadir terdiri daripada para asatizah Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk persatuan NGO, mahasiswa-mahasiswi universiti, alumni-alumni Akademi Dakwah dan juga orang persendirian.
Program diadakan sebagai salah satu usaha para belia dalam menjalankan amar ma’ruf di Negara Brunei Darussalam di samping melahirkan lebih ramai masyarakat yang cintakan Al-Quran dengan menjadikan pembacaan dan tadabbur Al-Quran sebagai amalan sepanjang hayat bagi memperoleh keberkatan dan syafaat di akhirat kelak.
Program yang membawakan tajuk Indahnya Mengejar Cinta Allah petikan dari Surah Al-Baqarah ayat 165 yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Antara pengisian tadabbur antara lain menyentuh mengenai kepentingan mencintai Allah melebihi segala-galanya. Ia menjelaskan jenis manusia dalam mencintai Allah, di mana orang beriman mendahulukanNya, manakala sebahagian manusia menduakan cintaNya, seperti yang dinyatakan dalam Surah At-Taubah ayat 24.
Program itu turut menerangkan tanda cinta kepada Allah, termasuk keikhlasan dalam ibadah dan mendahulukan perintahNya dalam kehidupan.
Atur cara program termasuk segmen sesi kuiz dalam talian yang dikendalikan oleh ahli Jawatankuasa Belia Daie bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang awam terhadap ayat-ayat Al-Quran dan kaedah mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Program berkenaan diakhiri dengan doa khusus untuk memperoleh cinta Allah serta menjadi insan yang dicintaiNya.
Orang ramai dialu-alukan mengikuti Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 melalui Instagram rasmi Belia Daie di @beliadaie bagi mendapatkan rakaman program petang kelmarin selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
