Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tadabbur ayat-ayat syifaa bongkar mukjizat Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BELAIT, 4 MEI – Dalam usaha memperkasa kefahaman dan penghayatan terhadap Al-Quran, satu Program Tadabbur Ayat-ayat Syifaa Al-Quran anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Daerah Belait telah diadakan kelmarin.

    Tadabbur berkenaan disampaikan oleh Pegawai Ugama (Perantis), Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dr Nooraimah binti Sibuang.

    Beliau menekankan tadabbur bukan sekadar memahami makna ayat, tetapi juga menghayatinya dalam konteks kehidupan seharian agar ia benar-benar memberi kesan dalam pembentukan peribadi Muslim yang sejati.

    Membaca Al-Quran merupakan langkah awal dalam berinteraksi dengan kitab suci umat Islam. Namun, interaksi itu tidak terhenti di situ sahaja tetapi seharusnya diteruskan dengan tadabbur, iaitu merenung dan memahami makna Al-Quran secara mendalam, seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian dan disebarluaskan melalui pengajaran.

    Aktiviti tadabbur ini amat penting dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan membangkitkan rasa ‘izzah (kemuliaan) terhadap Al-Quran di samping memperkukuh penghayatan dalam amalan beragama serta memupuk kesedaran bahawa Al-Quran adalah panduan utama dalam kehidupan.

    Program tersebut antara lain bertujuan untuk membantu para Muslimah mendalami maksud ayat-ayat Al-Quran melalui penjelasan tafsir yang menyeluruh, khususnya ayat-ayat yang berkaitan dengan penyembuhan (syifaa). Selain itu, ia juga bertujuan memberi pengetahuan terhadap rahsia, mukjizat serta tuntutan sebenar dalam Al-Quran.

    Program seumpama itu dihasratkan menjadi wadah yang berterusan dalam usaha membudayakan Al-Quran dalam kehidupan masyarakat Islam, terutamanya kaum wanita, demi mencapai keredaan Allah.

    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada Program Tadabbur Ayat-ayat Syifaa Al-Quran. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda