(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Pertama
Membaca al-Qur’an merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut oleh syara‘, sama ada membacanya di luar ataupun dalam sembahyang. Bahkan ganjaran yang dijanjikan kepada orang yang membaca al-Qur’an juga sangat hebat.
Ganjaran yang bakal diraih daripada membaca al-Qur’an amatlah besar dan telah disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya ialah daripada ‘Abdullah ibn Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Siapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Qur’an), maka baginya satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan itu menyamai (akan diganda menjadi) sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan bahawa ‘alif, lam, mim’ itu satu huruf, akan tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ satu huruf. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadits yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallahu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya al-Qur’an akan mendatangimu pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya. (Hadits riwayat Muslim)
Membaca al-Qur’an pada waktu malam adalah antara waktu yang afdhal dan dianjurkan berbanding pada waktu siang. Pada malam hari, waktu yang afdhal ialah separuh akhir daripada malam berbanding separuh awal malam, semasa waktu sahur dan di antara waktu Maghrib dan Isyak. Manakala pada siang hari pula, waktu yang afdhal adalah selepas Subuh. Bagaimanapun membaca al-Qur’an pada mana-mana waktu selain waktu yang telah disebutkan tidaklah dihukumkan makruh.
Oleh itu, sangat wajar untuk kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini.
Memperbanyakkan membaca al-Qur’an
Menyibukkan diri atau memenuhi masa yang terluang dengan membaca al-Qur’an adalah amalan yang dianjurkan oleh agama. Ini kerana membaca al-Qur’an itu adalah ibadat yang lebih utama sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Ibadat umatku yang paling afdhal adalah membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Dalam keghairahan kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an itu perlu juga dijaga kesempurnaan bacaan al-Qur’an, baik dari segi hukum tajwid dan makhraj huruf, bahkan dituntut juga ketika membaca al-Qur’an dengan tadabbur dan tartil.
Tadabbur ketika membaca al-Qur’an
Apabila seseorang memulakan pembacaan al-Qur’an, hendaklah dirinya dalam keadaan khusyu‘. Maksud khusyu’ di sini ialah merendah diri, melemparkan pandangan mata ke bumi dan merendahkan suara serta tenang atau diam segala anggota. Kemudian hendaklah dalam keadaan tawaduk dan tadabbur (menghayati dan merenung) ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an. Inilah antara perkara yang dituntut, kerana dengan tadabbur ketika membaca al-Qur’an akan melapangkan dan menenangkan jiwa serta menerangkan hati.
Dalil mengenai tadabbur ketika membaca al-Qur’an sangat banyak, antaranya ialah firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
Tidakkah mereka itu memperhatikan (dan memikirkan tentang) al-Qur’an? (Surah an-Nisa’: 82)
Demikian juga anjuran apabila membaca al-Qur’an dalam sembahyang. Di antara perkara yang disunatkan ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalam sembahyang ialah membacanya dengan tadabbur, iaitu merenung dan mengamati dengan menumpukan perhatian pada makna ayat-ayat yang dibaca. Bagaimanapun adalah memadai bagi orang yang membaca al-Qur’an itu untuk memahami makna ayat al-Qur’an secara rumusan (ijmal) dan bukannya secara terperinci (tafshil). Selain itu, membaca al-Qur’an dalam sembahyang dengan tadabbur juga merupakan antara cara atau jalan yang dianjurkan ke arah mencapai khusyu‘ dalam sembahyang.
Sesungguhnya orang yang membaca al-Qur’an dengan tadabbur, iaitu merenung dan memahami al-Qur’an adalah orang yang paling Allah Ta‘ala sukai pada bacaan al-Qur’annya. Anjuran tadabbur akan makna ayat al-Qur’an yang dibaca itu pula adalah bersesuaian menurut kemampuan seseorang.
Tartil ketika membaca al-Qur’an
Membaca al-Qur’an secara tartil adalah sangat dituntut. Bacaan tartil ialah membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Membaca al-Qur’an dengan menyempurnakan sebutan setiap huruf-hurufnya dinamakan oleh ahli Qura’ sebagai bertajwid dalam bacaan al-Qur’an.
Ulama telah sepakat bahawa bacaan al-Qur’an secara tartil adalah sangat dianjurkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Dan bacalah al-Qur’an de-ngan tartil (teratur dan jelas).(Surah al-Muzammil: 4)
Menurut Imam ar-Razi Rahimahullah, penggunaan perkataan tartil dan pengulangannya dalam ayat di atas menguatkan lagi suruhan untuk membaca al-Qur’an secara tartil. Oleh itu, ia adalah suatu perkara yang mesti dilaksanakan oleh para qari’ (pembaca) al-Qur’an.
Bacaan secara tartil juga telah sabit daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha ketika ditanya kepadanya mengenai cara bacaan al-Qur’an Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu beliau menyifatkan (meniru) bacaan Baginda, iaitu dengan bacaan yang jelas pada setiap huruf-hurufnya satu persatu.
Diceritakan oleh al-Hasan Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membaca satu ayat al-Qur’an lalu lelaki tersebut pun menangis. Lalu Baginda pun bersabda: “Adakah kamu tidak mendengar firman Allah Ta‘ala,? “Warattilil qur’ana tartila” Beginilah yang dinamakan (bacaan) tartil.”
Oleh itu, bacalah al-Qur’an dalam keadaan tenang dan teratur (tartil) serta tadabbur akan kandungan dan makna-makna al-Qur’an dan janganlah mempercepatkan atau bergegas-gegas membacanya.
Demikian juga, membaca al-Qur’an di dalam sembahyang disunatkan dengan bacaan tartil, yakni membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Sedangkan mempercepatkan bacaan secara keterlaluan adalah makruh serta dilarang.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memanjangkan bacaan ketika membaca al-Qur’an. Menurut beliau, apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca basmalah, Baginda memanjangkan bacaan Bismillah, kemudian memanjangkan bacaan Ar-Rahman, kemudian memanjangkan bacaan Ar-Rahim.
Maksud Baginda memanjangkan bacaan ialah memanjangkan pada huruf madd dan huruf lin. Bagaimanapun Baginda tidak keterlaluan memanjangkan bacaan Baginda kerana bacaan yang sedemikian itu adalah dianggap mencuaikan bacaan serta dicela.