Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Seramai 180 peserta dari peringkat umur antara dua hingga 70 tahun tidak melepaskan peluang menyertai Program Tadabbur For Family Edisi Mahrajan.
Program membawa tema ‘Memasyarakatkan Universiti’ merupakan julung kali diadakan sempena Sambutan Mahrajan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) (pesta konvo) yang ke-9 tahun di Pusat Persidangan Antarabangsa hari.
Program yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai itu dijayakan oleh gabungan lebih 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar-pelajar UNISSA, Universiti Brunei Darussalam, pusat tingkatan enam, Kolej IGS, politeknik, sekolah-sekolah menengah dan individu perseorangan.
Pada program ini, ia memfokuskan kepada huraian asas ciptaan Allah mengenai sistem suria yang bergerak mengikut perintah Penciptanya sebagai sesuatu yang signifikan untuk manusia mendalami ilmu sains dengan lebih mendalam seperti yang terdapat dalam mukjizat Al-Quran.
Sebelum acara diteruskan, para hadirin mendengar penerangan ringkas mengenai Surah Al-Syams (ayat 1-6) dan Surah Yasin (ayat 40) mengenai matahari, bulan dan bumi daripada pengasas bersama Tadabbur For Family Programme, Dr Widad binti Haji Abdul Aziz.
Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan mini pameran dari Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dengan memberikan maklumat lebih lanjut mengenai sistem suria yang kemudian disusuli dengan para peserta sama-sama membuat kraf model kitaran suria dan bumi mengikut kreativiti masing-masing.
Program berkenaan diserikan dengan lantunan qasidah selawat dan zikrullah daripada Kumpulan az-Zahra’.
