Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Dalam menghimpunkan warga Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk sama-sama bermuhasabah, menyemai jiwa kesyukuran dan memperkaya kerohanian, satu acara Tadabbur Khas Al-Quran telah dianjurkan sempena Sambutan Ilal Hijrah 1447, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di Masjid Universiti, UBD itu ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir, para kakitangan dan mahasiswi dan mahasiswa UBD.
Acara kemuncak menyaksikan syarahan khas bertajuk Penerapan Nilai Penghijrahan pada Era AI yang disampaikan oleh Dr Widad binti Haji Abdul Aziz yang antara lain mengongsikan kaitan hijrah (migrasi) dalam konteks kemajuan teknologi moden, khususnya peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk nilai, identiti dan transformasi.
Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan bacaan Doa Kesyukuran bagi memohon kesyukuran kepulangan jemaah haji warga universiti tersebut.
Majlis tersebut dihasrat agar warga universiti dapat bersama-sama mengambil peringatan bermakna tentang pembaharuan rohani, kesyukuran, dan pengajaran abadi tentang penghijrahan Nabi Muhammad SAW, terutamanya ketika masyarakat mengharungi perubahan pesat dalam era digital.



