Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Amalan membaca Al-Quran yang menjadi ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping sebagai wadah memperkukuhkan hubungan sosial serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit di Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini, berkata, bertadarus Al-Quran secara berjemaah akan menggalakkan salah satu cara bagi membina ikatan silaturahim yang lebih erat antara para jemaah dan peserta tadarus.
Beliau yang juga Penasihat I, Ahli Jawatankuasa Takmir (AJK) Masjid Kampung Sungai Besar, menegaskan mengakui perpaduan merupakan kunci utama kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Katanya, penghayatan dan pembacaan Al-Quran secara berjemaah dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu serta saling memahami antara satu sama lain.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Tamin yang turut mengetuai bacaan Takhtim serta doa khatam.
Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail seterusnya membacakan Doa Khatam, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Tahlil.


