Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tadarus Al-Quran meriahkan Ramadan

    Oleh Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Bagi menyemarakkan bulan Ramadan dan mendapatkan ganjaran pahala serta keberkatan di bulan yang mulia ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, rombongan kementerian-kementerian kerajaan mengadakan majlis bertadarus ke pelbagai tempat terpilih terutamanya masjid-masjid di keempat-empat daerah.

    Pagi tadi, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Bertadarus, Tahlil dan Doa Arwah bagi kementerian itu di Sekolah Menengah (SM) Tanjong Maya, Tutong yang dipilih selaku tuan rumah bagi Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Tutong; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

    Seramai 200 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan, guru-guru dan para pelajar SM Tanjong Maya menyertai majlis bertadarus berkenaan.

    Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah bagi Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.
    Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah bagi Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

    Majlis diselajurkan dengan penyerahan wakaf berupa barang-barang kemudahan iaitu lima naskhah mushaf Brunei Darussalam dan terjemahannya serta enam gulung tikar sejadah untuk mengerjakan solat bagi keperluan guru-guru dan pelajar di sekolah berkenaan.

    Wakaf berkenaan hasil sumbangan daripada pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

    Penyampaian wakaf berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Timbalan Pengetua SM Tanjong Maya, Awang Mohammad Noh bin Haji Nain.

    Sementara itu, rombongan tadarus Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pula telah berkunjung ke Masjid Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait di mana majlis tadarus telah diselenggarakan bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Bahagian Antarabangsa dan MABIMS, Bahagian Perhubungan Awam dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.

    Dato Paduka Haji Abdul Mokti memulakan bacaan Tadarus Al-Quran pada majlis tadarus di Masjid Kampung Sungai Teraban.
    Dato Paduka Haji Abdul Mokti memulakan bacaan Tadarus Al-Quran pada majlis tadarus di Masjid Kampung Sungai Teraban.
    Antara yang menyertai Majlis Bertadarus rombongan KHEU di Masjid Kampung Sungai Teraban.
    Antara yang menyertai Majlis Bertadarus rombongan KHEU di Masjid Kampung Sungai Teraban.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Sebelum bacaan tadarus bermula, majlis didahului dengan penyampaian agihan wang zakat Hari Raya kepada seramai 20 orang ketua keluarga asnaf fakir miskin di kawasan berkenaan yang disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat yang juga merupakan Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB)selepas solat Fardu Asar berjemaah.

    Selesai acara bertadarus, majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Teraban, Haji Omarali bin Haji Mohd Husain dan seterusnya bacaan Doa Peliharakan Sultan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kawasan 1, Haji Akup bin Haji Lamat.

    Setelah masuk waktu Maghrib, rombongan KHEU bersungkai bersama-sama para jemputan khas, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid sebelum diteruskan dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

    Rombongan KHEDN mengadakan majlis bertadarus di Masjid Kampung Penanjong, Tutong.
    Rombongan KHEDN mengadakan majlis bertadarus di Masjid Kampung Penanjong, Tutong.

    Manakala itu, petang tadi, majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK)berserta rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Daerah Tutong telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Kampung Penanjong, Tutong.

    Mengetuai rombongan dari KHEDN ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Haji Mohd Sunadi bin Haji Buntar.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong, ahli-ahli MPMK, para jemaah dan masyarakat serta penduduk Kampung Penanjong dan sekitarnya.

    Majlis Tadarus Al-Quran diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat oleh imam Masjid Kampung Penanjong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda