Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Malam-malam bulan Ramadan terus bersemarak dengan tadarus Al-Quran yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam sama-sama meraih keberkatan dan meningkatkan amal ibadat dalam bulan yang suci ini.
Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba juga tidak ketinggalan mengungkayahkan Majlis Tadarus Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Fairuz binti Haji Zolkipli.
Di samping mendorong para Muslimah untuk mengamalkan bacaan Al-Quran sehingga khatam, acara berkenaan juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi silaturahim kalangan Muslimah masjid.