Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Tadbir urus beretika perkukuh institusi kewangan Islam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Tadbir urus korporat yang kukuh dan telus dapat memimpin syarikat untuk membuat keputusan beretika yang bermanfaat kepada pihak-pihak berkepentingannya.

    Namun begitu, tadbir urus yang lemah dan kabur boleh menyebabkan sesebuah organisasi itu runtuh dan sering mengakibatkan muflis.

    Tadbir urus yang lemah telah menyebabkan keruntuhan institusi-institusi kewangan dan ini telah terbukti daripada krisis kewangan pada 2008 di mana pengawal selia mula menonjolkan kepentingan tadbir urus, pendedahan dan ketelusan.

    Penekanan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) selaku Pengerusi Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam rakaman ucaptama semasa Persidangan Penasihat Syariah 2022 (SAC 2022) yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau menambah bahawa serupa dengan ruang kewangan Islam, pelaksanaan tadbir urus syariah memberikan penekanan kepada etika dan moral dengan mempromosikan elemen-elemen amanah dan adil serta menggalakkan akauntabiliti dan ketelusan yang bersinergi dengan nilai teras keimanan terhadap Allah SWT sebagai lambang ibadah dan komitmen Muslim dalam amalan beragama.

    Antara peserta yang menghadiri Persidangan Penasihat Syariah 2022 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin dalam ucaptama berkenaan menyatakan, aset kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam terdiri lebih daripada 50 peratus jumlah pasaran keseluruhan sejak penubuhannya di mana ekosistem kewangan Islam Brunei merangkumi bank-bank Islam, operator takaful, syarikat-syarikat kewangan Islam, peniaga pelaburan Islam termasuk Islamic window, sukuk dan perkhidmatan sampingan yang lain.

    Pada 2018, jelasnya, BDCB telah mengeluarkan notis dan garis panduan mengenai rangka kerja tadbir urus syariah yang memerlukan semua institusi kewangan Islam di Brunei Darussalam untuk menubuhkan rangka kerja tadbir urus syariah mereka sendiri sekali gus menambah baik rangka kerja kawal selianya untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah hab antarabangsa bagi kewangan Islam.

    Institusi kewangan Islam boleh mengaplikasikan dan menghayati semangat rangka kerja berkenaan di mana lembaga pengarah, badan penasihat syariah dan pengurusan dapat melaksanakan tugas mereka dalam memastikan perniagaan mereka adalah patuh syariah.

    Beliau menyatakan lanjut bahawa inisiatif-inisiatif lain yang diambil oleh institusi-institusi adalah antara lain meningkatkan kapasiti sumber manusia dalam semakan syariah, pengurusan risiko syariah dan audit dalaman syariah menerusi kepakaran onboarding dan perkongsian ilmu pengetahuan.

    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin menambah bahawa pelaksanaan rangka kerja berkenaan akan melindungi kepentingan dan hak semua pihak berkepentingan, menjana kepuasan dan memastikan keyakinan pelabur serta orang ramai dalam sistem kewangan Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...