BARAM, MIRI, SARAWAK – Jarum jam menunjukkan hampir pukul 7:45 pagi dan Atika Fazila sudah berdiri di luar Tadika SeDidik Penan, menunggu kedatangan anak-anak muridnya sebelum kelas bermula pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 11 pagi.
Dari Isnin hingga Jumaat, itulah rutinnya setiap pagi, meskipun ada ketika cuaca dingin menusuk tulang, bagi memastikan kesemua tujuh orang anak muridnya disambut dengan senyuman.
Perasaan gembira terpancar di wajah guru berusia 23 tahun ini apabila seorang demi seorang anak didiknya yang lengkap berpakaian seragam warna jingga dan putih, berusia antara empat hingga enam tahun, muncul di hadapan pintu tadika.
Tadika SeDidik Penan ini beroperasi di sebuah bangunan rumah batu setingkat, terletak di kawasan penempatan masyarakat Penan, Long Jenalong, kira-kira 200 kilometer dari bandar Miri ini.
“Selamat pagi cikgu,” seorang demi seorang muridnya ceria menyapa, ada yang memeluk Atika, sebelum masing-masing mengambil tempat duduk, jelas menggambarkan jalinan mesra antara murid dan guru.
Suasana kelas yang sebelum ini agak sepi, berlatarkan bunyi kicauan unggas, bertukar riuh sejurus sebelum Atika meminta semua murid berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku.
“Beginilah rutin kami setiap hari, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang dapat memberi keseronokan kepada anak-anak ini,” kongsi Atika yang juga berketurunan suku kaum Penan, dilahirkan dan dibesarkan di kampung Long Jenalong.
Riuh-rendah suara anak-anak ini memenuhi ruang kelas ketika bermain alat mewarna untuk melukis apa sahaja yang disukai, menyanyi lagu-lagu rakyat kanak-kanak seperti Bangun Pagi, Rumah Kecil Saya, mencipta produk dengan barangan terpakai dan bermain permainan congkak.
Sepanjang empat jam berada di dalam kelas, tiada seorang pun yang merengek untuk balik awal mahupun menangis kerana ketiadaan ibu ayah menemani di luar tadika.
“Selain dipenuhi pelbagai aktiviti, dinding tadika ini juga dihiasi dengan hasil kerja anak-anak ini bagi membangkitkan keseronokan mereka belajar. Mereka nampaknya seronok selain mula belajar erti berkawan,” tambahnya kepada Bernama.
PERUBAHAN BESAR
Mungkin suasana ini hanyalah situasi biasa bagi mereka yang berada dalam penempatan yang sudah mempunyai kemudahan pendidikan awal, namun tidak bagi kawasan pedalaman Miri yang menjadi penempatan masyarakat Penan ini.
Pendidikan awal adalah asas penting dalam perkembangan serta pembangunan kanak-kanak, namun hakikatnya begitu asing dalam kehidupan masyarakat di Long Jenalong yang mempunyai seramai 154 penduduk.
Ini kerana, sebelum ini, kanak-kanak di kawasan pedalaman itu tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan awal di tadika memandangkan perkampungan mereka tidak mempunyai kemudahan tersebut dan hanya mengenal erti 3M (membaca, menulis dan mengira) bermula Tahun Satu.
Paling dekat tadika dengan perkampungan mereka adalah di Long Bedian yang turut menempatkan sekolah rendah dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit sekiranya cuaca panas dan akan menjadi masa lebih daripada satu jam sekiranya hari hujan berikutan jalan balak selain tidak mempunyai pengangkutan.
Biarpun begitu, keadaan mula berubah sejak tahun 2020 menerusi inisiatif yang digerakkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama Jawatankuasa Kerja Bersama Sarawak (Petronas-Sarawak JWC) dengan pembinaan Tadika SeDidik melalui Program Pendidikan Komuniti (Penan).
Menurut Atika, pembukaan tadika itu membawa perubahan besar buat anak-anak di kawasan pedalaman untuk mendapat pendedahan awal 3M di samping menikmati kehidupan berkawan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar. – Bernama