Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taeguk Warriors dilanda ‘krisis besar’

    SEOUL, 14 Jun – Jurulatih Korea Selatan Uli Steilike berdepan kemungkinan dipecat apabila kekalahan kelayakan Piala Dunia kepada Qatar menjuruskan pasukan ke dalam ‘krisis besar’ hari ini.

    Taeguk Warriors bukanlah satu-satunya pasukan keciciran mata dalam kelayakan semalam selepas Jepun juga melepaskan gol penyamaan lewat untuk seri 1-1 dengan Iraq.

    Tetapi selepas kekalahan 3-2 di Doha, kekalahan pertama Korea Selatan kepada Qatar sejak 32 tahun, Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) beralih kepada Steilike selepas pasukannya tewas kepada Iran dan China dalam Kumpulan A sebelum ini.

    “Ini krisis besar. Kami tewas permainan yang kami perlu menang. Harapan dalam pusingan kelayakan agak tipis. KFA mungkin membincangkan kedudukan jurulatih apabila jawatankuasa teknikal bermesyuarat nanti,” jurucakap KFA Cho Jun-Heon memberitahu wartawan.

    Jawatankuasa teknikal dijadualkan bermesyuarat seawal esok (Khamis) dengan agenda yang mungkin dikuasai oleh perbincangan mengenai Stielike, kata pegawai KFA.

    Pemain Qatar Mohammed Kasoala (tengah) cuba mencari sasaran dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan di stadium Jassim Bin Hamad di Doha, kelmarin. – AFP
    Pemain Qatar Mohammed Kasoala (tengah) cuba mencari sasaran dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan di stadium Jassim Bin Hamad di Doha, kelmarin. – AFP

    Korea Selatan, yang memburu penampilan Piala Dunia kesembilan berturut-turut dan bergantung kepada tempat kelayakan automatik kedua, tujuh mata di belakang Iran yang sudah layak dan hanya satu di depan Uzbekistan.

    “Saya mengambil tanggungjawab penuh untuk keputusan ini,” kata Stielike selepas perlawanan. “Saya orang yang membuat keputusan taktikal.”

    Ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan kedudukannya, Stielike menyatakan itu bukan keputusannya. “Kita perlu tunggu dan lihat,” tambah beliau.

    Steilike mungkin bukan satu-satunya jurulatih dipecat selepas pengendali Qatar Jorge Fossati membayangkan peletakan jawatannya walaupun pasukan menang mengejut.

    Tuan rumah Piala Dunia2022 itu terperangkap dalam krisis diplomatik selepas hubungannya dengan jiran Teluk terputus dan mungkin juga melanggar peraturan FIFA terhadap kenyataan politik.

    Pemain memanaskan badan memakai baju-T dengan imej amir negara itu yang telah diterima pakai sebagai simbol keingkaran warga Qatar.

    Midfield Hasan Al-Haydos juga melambai salah satu daripada baju-T itu ketika meraikan gol pembukaan. Tiada komen segera boleh didapati daripada FIFA.

    Ketika Qatar hidup dengan harapan tipis untuk ke Piala Dunia Rusia 2018, Korea Selatan pula menghadapi tamparan tambahan selepas penyerang Son Heung-Min disyaki patah lengan.

    Akhbar Korea menggesa Steilike untuk pergi. Sports Chosun berkata permainan itu adalah ‘bencana’ dan kelayakan terakhir menentang Iran dan Uzbekistan adalah ‘perlawanan di depan tali gantung’.

    “Stielike menipu peminat. Inilah masa terbaik untuk dia pergi,” tulis Sports Seoul.

    Kempen Jepun juga tergugat apabila gagal menewaskan Iraq yang sudah tersingkir, menyebabkan mereka hanya satu mata mengatasi Arab Saudi dan Australia di bahagian atas Kumpulan A.

    Blue Samurai menentang Australia dan Arab Saudi dalam dua perlawanan terakhir sebagai klimaks tekanan tinggi untuk melayakkan diri.

    Dua pasukan teratas setiap kumpulan Asia maju terus ke Piala Dunia 2018, manakala dua pasukan tempat ketiga ditentukan dalam satu siri play-off.

    Pasukan China Marcello Lippi juga mengharungi malam mengecewakan apabila gol penyamaan pada masa kecederaan menambat mereka untuk seri 2-2 dengan Syria, sekali gus berada di ambang penyingkiran.

    Emiriyah Arab Bersatu juga bermasalah dalam Kumpulan B walaupun ledakan masa kecederaan Ali Mabkhout menyelamatkan keputusan seri 1-1 dengan Thailand. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda