Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahanan lari berdepan tuduhan tambahan

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Seorang tahanan yang gambarnya tular menerusi media sosial WhatsApp selepas melarikan diri, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, untuk menghadapi tuduhan tambahan.

    Mohammad Mahadhir bin Haji Ariffin, 32, kini berdepan dakwaan menipu beberapa orang jurujual kedai dengan menggunakan kad debit milik seorang wanita untuk membeli telefon bimbit berharga $275, alat jalur lebar mudah alih berharga $79, rantai emas bernilai $410, sepasang kasut berharga $107.10, sarung kaki berharga $17.01, alat penghawa dingin berharga $419, telefon bimbit pintar berharga $229, empat pasang kasut berharga $376 dan rantai emas berharga $495.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang berasingan di Pusat Membeli-belah Times Square, Airport Mall, Serusop dan di kawasan bandar pada 7, 8 dan 9 September 2017.

    Tertuduh juga menghadapi tuduhan mencuri sebuah basikal dari sebuah rumah di Kampung Madang, pada 13 Jun 2017.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah binti Haji Lakim turut mengemukakan dakwaan bahawa tertuduh secara tidak jujur telah menyalahgunakan kad debit orang lain.

    Dia juga didakwa melarikan diri dari jagaan polis ketika berada di bilik pengasingan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 9 Oktober 2017.

    Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk kesemua tuduhan tersebut.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan kes untuk disebut pada 28 Oktober.

    Dalam kes berasingan, Mohammad Mahadhir turut didakwa melakukan kekerasan terhadap isterinya pada Mei 2017. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 28 Oktober untuk sebutan seterusnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda