Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahanan Palestin maut di penjara selepas mogok lapar

    RAMALLAH, 2 MEI – Tahanan Palestin Khader Adnan meninggal dunia kelmarin di penjara Israel selepas 87 hari melancarkan mogok lapar, menurut kenyataan bertulis oleh kumpulan Jihad Islam Palestin hari ini.

    “Khader Adnan mati syahid akibat jenayah yang dilakukan oleh musuh,” katanya.

    Beliau berkata rejim Israel akan menanggung akibatnya, lapor agensi Anadolu.

    Pada 23 April, Persatuan Tahanan Palestin dalam satu kenyataan berkata mahkamah tentera Israel baru-baru ini menolak permintaan peguamnya supaya beliau dibebaskan dengan ikat jamin semasa hari ke-78 mogok laparnya.

    Adnan berulang kali ditahan oleh tentera Israel dan beliau melancarkan beberapa mogok lapar sebagai membantah penahanannya.

    Pada 2012, Adnan melancarkan mogok lapar selama 66 hari yang memaksa pihak berkuasa Israel membebaskannya dan melancarkan mogok sama pada 2015 dan 2018.

    Di Tebing Barat, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh, mengatakan Israel mesti bertanggungjawab. Beliau menggambarkan kematian Adnan sebagai ‘pembunuhan yang dirancang dengan menolak pemintanya untuk dibebaskan, mengabaikannya dari segi perubatan dan menahannya dalam penjara meskipun keadaan kesihatannya serius’.

    Kira-kira 200 orang berkumpul di luar rumah Adnan di bandar Arraba, Tebing Barat yang diduduki, memegang poster memaparkan imejnya dan menyeru untuk membalas dendam. Balu Adnan, Randa Musa memberitahu mereka yang berkumpul di luar bahawa ‘kami tidak mahu setitik pun pertumpahan darah’ sebagai tindak balas terhadap kematiannya. – Bernama/AP

    Penduduk Palestin memegang poster yang memaparkan imej Khader Adnan yang meninggal dunia di penjara Israel selepas 87 hari melancarkan mogok lapar. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda