Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sejak penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada Mac 2020, para tahanan yang akan dibawa masuk ke dalam pusat tahanan ataupun penjara akan diasingkan sebagai salah satu langkah awal.
Penjara Jerudong telah dijadikan sebagai tempat pengasingan dan akan mengasingkan para tahanan di sana terlebih dahulu selama 14 hari. Sekiranya mereka didapati bebas daripada jangkitan COVID-19 setelah menjalani ujian swab, barulah mereka akan dipindahkan ke Penjara Maraburong.
Langkah-langkah yang dilakukan tersebut merupakan atas nasihat Kementerian Kesihatan dalam usaha membendung penularan kalangan banduan di Penjara Maraburong.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Pada masa ini, jelas Yang Berhormat Pehin lagi, langkah yang dilakukan adalah untuk memastikan banduan-banduan mendapat vaksinasi COVID-19 di samping para wadar dan semua pekerja di penjara.
Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 89 peratus banduan dan 91 peratus petugas serta kakitangan di Jabatan Penjara telah divaksin.
Selain itu, beberapa langkah pembendungan juga dilakukan ketika ini seperti perbicaraan yang dijalankan secara persidangan video sahaja dan tidak menjalankannya di mahkamah seperti sebelumnya.
Demikian juga langkah-langkah turut digubal dan dipraktikkan bagi para pelawat-pelawat daripada kalangan keluarga, tambah beliau.