Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahanan tular berjaya diberkas

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seorang tahanan yang gambarnya tular di WhatsApp selepas melarikan diri, berjaya diberkas dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

    Mohammad Mahadhr bin Haji Ariffin, 32, diberkas pada 10 Oktober sekitar jam 1:23 pagi.

    Dia berdepan tuduhan membeli rantai emas bernilai $495 dari kedai barang kemas di ibu negara, dengan menggunakan kad debit milik orang lain.

    Dia juga dituduh menyalahgunakan kad debit itu dan melarikan diri daripada jagaan polis ketika berada di bilik pengasingan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 dan 10 Oktober 2017.

    Bagaimanapun tidak ada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi membolehkan polis menjalankan penyiasatan.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan kes untuk disebut semula pada 14 Oktober dan memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Qhairul Azim bin Nayan.

    Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang wanita yang dikaitkan dengan Mohammad Mahadhr turut dihadapkan atas pertuduhan memberi perlindungan kepadanya di Hotel Traders Inn pada 10 Oktober 2017.

    Namun, tidak ada pengakuan direkodkan daripada Nur Amira Syairah binti Mohd Harisfadilah, 21, yang dilepaskan dengan ikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana turut menetapkan 14 Oktober untuk sebutan kes. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda