BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa pengeluaran air bersih Loji Rawatan Air Bukit Barun masih dalam tahap yang rendah dan belum stabil.
Kerana itu, pembahagian air bersih ke tangki-tangki utama simpanan air di Daerah Brunei dan Muara terutamanya tangki utama simpanan air Kiarong sedang mengalami paras air yang rendah.
JKR dalam kenyataannya kelmarin, tangki simpanan air Subok adalah salah satu penerima air daripada tangki Kiarong tersebut. Perkara ini telah menyebabkan tahap paras air tangki Subok menjadi berkurangan dan seterusnya menjejaskan bekalan air ke sebahagian kawasan Kampung Subok terutamanya pada kawasan tinggi. Walau bagaimanapun, pihak jabatan berusaha untuk melaksanakan pembekalan air kembali seperti biasa secepat mungkin.
JKR turut memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang masalah bekalan atau kualiti air.