SEOUL, 2 APRIL – Imej satelit mengesan tahap aktiviti yang tinggi di kompleks nuklear utama Korea Utara selepas pemimpin, Kim Jong Un mengarahkan pengeluaran bahan nuklear gred senjata dipertingkatkan.
Menurut sebuah badan pemikir Amerika Syarikat (AS), 38 North yang berpangkalan di Washington, imej dari 3 dan 17 Mac menunjukkan bahawa reaktor air ringan eksperimen (ELWR) di tapak Yongbyon negara itu ‘hampir siap’.
Difahamkan, pembinaan sudah dimulakan pada bangunan sokongan baharu, manakala pelepasan air dikesan daripada sistem penyejukan reaktor, menunjukkan bahawa ELWR sudah “hampir beralih kepada status operasi”.
Imej-imej itu juga menunjukkan bahawa reaktor lima megawatt di Yongbyon terus beroperasi dan pembinaan baharu dimulakan di sekitar loji pengayaan uranium tapak itu, berkemungkinan meluaskan keupayaannya.
“Perkembangan ini seolah-olah mencerminkan arahan Jong Un baru-baru ini untuk meningkatkan pengeluaran bahan fosil untuk mengembangkan senjata nuklearnya,” menurut laporan itu.
Selasa lalu, media negara Korea Utara mendedahkan gambar Jong Un sedang memeriksa hulu peledak nuklear baharu yang lebih kecil ketika dia mengarahkan pengembangan dalam ‘pengeluaran bahan nuklear gred senjata’ untuk peningkatan ‘eksponen’ dalam senjata Utara. – AFP