Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Tahap dan taraf sukan judo dalam gelanggang domestik telah meningkat dengan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, menurut seorang jurulatih judo senior baru-baru ini.
Jurulatih Pasukan Judo Universiti Hawaii, Shintaro Taniguchi, kagum dengan sukan judo di Brunei.
Beliau berkata, “Judo Brunei berbanding lima tahun lalu sudah pasti bertambah baik. Saya sebenarnya sangat kagum tetapi tidak pasti di mana tahapnya.
“Saya pernah ke Brunei tiga kali sebelum wabak dan saya merancang untuk datang pada 2020 namun COVID menular. Jadi saya tidak dapat kembali selama lima tahun,” kata Shintaro yang sedang melatih ahli judo tempatan di Sekolah Sukan.
Jurulatih itu, yang juga seorang profesor madya menambah, “Saya sangat gembira melihat tahap judo Brunei telah meningkat secara drastik.
“Jelas sekali mereka masih dalam peringkat pembinaan dan selagi orang di Brunei berminat dan lebih ramai orang yang mengambil bahagian, saya fikir ia akan berjaya di rantau ini,” tambahnya.
Jurulatih itu turut memuji usaha yang dilakukan oleh Presiden Persekutuan Judo Kebangsaan Brunei Darussalam (BDJF), Muhammad Ali Rashid bin Haji Mohammad Alipah serta kelab-kelab lain.
Beliau berkata, “Saya rasa tenaga pengajar (Ali) di Sekolah Sukan melakukan tugas yang hebat terutamanya mengajar teknik asas. Saya sangat kagum dengan kepimpinan dan kaedah pengajaran beliau selepas memerhatikan bagaimana beliau mengetuai latihan memanaskan badan.”
Program latihan selama dua hari itu tertumpu pada dua sesi, yang pertama ialah Kouchi Gari, merupakan teknik kaki di mana ia merupakan teknik kegemaran jurulatih. Kedua, memfokuskan pada asas dan gerakan di mana ia juga boleh digunakan untuk semua peringkat pengamal judo.
