NAIROBI, 30 JAN – Tahap kelayakan untuk pasukan pelarian bagi saingan Olimpik Tokyo dipertingkatkan susulan kejayaan yang dicapai pada Olimpik Rio 2016, kata Chef de Mission Tegla Loroupe.
Loroupe yang bertanggungjawab membantu membentuk atlet menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna walaupun berdepan situasi sukar berkata, tiada kompromi terhadap standard dan bakat.
Jawatankuasa Olimpik Anta-rabangsa (IOC) telah memberikan 49 biasiswa kepada atlet pelarian sebagai inspirasi kepada mereka untuk berusaha lebih keras bagi menjamin tempat dalam pasukan.
Mereka termasuk 10 atlet yang merupakan sebahagian Pasukan Olimpik Pelarian IOC pertama di Rio 2016 dari Syria, Congo, Ethiopia dan Sudan Selatan, atlet individu baharu dan 19 atlet yang sedang menjalani persediaan di Pusat Latihan Pelarian Tegla Loroupe di Kenya.
Di Rio 2016, pasukan pelarian bersaing dalam acara judo dan renang.
Mungkin ada atlet baharu untuk acara badminton, tinju, karate, taekwondo dan angkat berat.
“Di Nairobi, kami melatih 25 pelarian dan lima atlet Kenya. Berbanding 2016, harapan lebih tinggi diletakkan di bahu atlet pelarian untuk Sukan Olimpik Tokyo. Tanpa menjejaskan standard, pemilihan pemain berdasarkan prestasi – dan persaingan yang tinggi,” kata Loroupe.
Senarai akhir Pasukan Pelarian dijangka diumumkan pada Jun bertepatan dengan Hari Pelarian Sedunia. – Bernama