Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 di Dewan Majlis Mesyuarat Negara, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, menegaskan peranan penting sektor pendidikan dalam mencapai aspirasi negara menjelang tahun 2035.
Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Mesyuarat Negara atas peluang membentangkan perbahasan tersebut.
Beliau memulakan ucapan dengan merujuk kepada satu kenyataan yang pernah dibuat oleh Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman mengenai isu pelajar yang dikatakan, “masih belum mampu membaca dan mengira dengan baik.”
Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa kenyataan tersebut tidak berasaskan data yang sahih dan meminta agar fakta yang tepat digunakan dalam perbahasan demi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Menurut laporan Kementerian Pendidikan yang terkini, berdasarkan kajian Student Learning Survey 2025, 94 peratus pelajar Tahun 9 telah mencapai tahap literasi yang baik dengan profisiensi dalam Band 5 dan ke atas. Selain itu, analisis keputusan peperiksaan Brunei Cambridge GCE O-Level 2024 menunjukkan bahawa majoriti pelajar yang gagal mendapat kredit dalam semua mata pelajaran masih memperoleh keputusan lulus dalam beberapa subjek, menandakan asas literasi dan numerasi yang memadai.
Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah turut membangkitkan aspek Teori Maslow yang dikemukakan dalam perbahasan sebelum ini, menegaskan bahawa keperluan manusia tidak semestinya harus dipenuhi secara berurutan dan teori tersebut perlu disesuaikan dengan konteks abad ke-21.
Mengenai Wawasan Brunei 2035, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menegaskan bahawa pendidikan adalah tunjang utama dalam merealisasikan tiga matlamat utama wawasan tersebut. Matlamat pertama adalah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Untuk itu, enam Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan telah digubal di bawah Manpower Blueprint bagi memastikan pembangunan modal insan selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Beliau juga menggariskan tiga perubahan utama yang telah dibawa oleh Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) sejak diperkenalkan pada tahun 2008, iaitu: Penyusunan semula struktur sistem pendidikan bagi pelbagai laluan pembelajaran yang lebih responsif; Pengemaskinian kurikulum dan penilaian yang menitikberatkan kemahiran abad ke-21 dan Transformasi pendidikan teknik dan vokasional (TVET) yang lebih dinamik dan berorientasikan industri.
Dalam konteks inisiatif pembangunan pendidikan, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai program seperti School-Based Assessment for Learning, Literacy Numeracy Coaching Programme, Learning Support Programme, serta program bimbingan profesional kepada pemimpin sekolah dan tenaga pengajar. Usaha pengambilan guru juga diperhebatkan dengan penambahbaikan sistem dan pengenalan program pasca siswazah seperti pengajian Master of Teaching.
Selain itu, infrastruktur pendidikan terus diperkukuh dengan penekanan kepada persekitaran pembelajaran yang kondusif dan digital, termasuk projek transformasi digital, peningkatan jaringan sekolah serta projek pendidikan lestari.
Dalam aspek globalisasi dan mobiliti pelajar, kementerian aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa seperti SEAMEO, UNESCO dan ASEM bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan peluang mobiliti.
Mengimbas pencapaian sektor pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menegaskan bahawa data penilaian longitudinal menunjukkan peningkatan ketara kemahiran literasi pelajar sejak 2008 hingga 2024. Contohnya, pelajar Tahun 4 yang mencapai tahap kemahiran asas meningkat daripada 59 peratus kepada 99 peratus, manakala pelajar Tahun 6 pula meningkat daripada 57 peratus kepada 99 peratus.
Keputusan peperiksaan awam juga menunjukkan tren peningkatan, termasuk pencapaian GCE O-Level dan A-Level yang semakin memberangsangkan.
Dari segi pendidikan tinggi, Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei masing-masing berada dalam kedudukan teratas Asia menurut QS Asia University Ranking 2025, manakala Universiti Islam Sultan Sharif Ali diiktiraf dalam World University Ranking for Innovation.
Pelajar negara turut mencatat kejayaan di pelbagai pertandingan inovasi dan teknologi di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Anugerah Brunei ICT Award, Asia Pacific ICT Alliance dan Shell Eco-marathon.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut memaklumkan bahawa kadar kemasukan pelajar ke peringkat pasca menengah meningkat secara berterusan dan kajian kepuasan majikan terhadap graduan juga mencatat tahap memuaskan sebanyak 80.2 peratus pada tahun 2023.
Sebagai penutup, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyatakan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memperkasakan pendidikan negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing tinggi pada masa depan.


