PARIS, 1 MAC – Tahap kesediaan masyarakat di beberapa negara untuk menerima vaksin COVID-19 meningkat berbanding tahun lalu, menurut dapatan tinjauan di enam negara perindustrian yang diterbitkan Isnin lalu.
Tinjauan yang dilakukan firma perunding antarabangsa, KekstCNC bulan lalu mendapati lebih ramai penduduk di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Perancis yang sebelum ini ragu-ragu terhadap vaksin kini bersedia menerimanya.
Tinjauan merangkumi Jerman, Jepun dan Sweden turut menunjukkan kecenderungan sama.
“Ketika program vaksin bermula, lebih ramai penduduk di semua negara mengatakan mereka akan mengambil vaksin,” menurut kajian itu.
Peratusan tertinggi diperoleh di UK dengan 89 peratus, meningkat daripada 70 peratus pada Disember.
Di Sweden, kadarnya 76 peratus berbanding 53 peratus pada Disember, di AS pula 64 peratus berbanding 58 peratus, di Jerman 73 peratus berbanding 63 peratus dan di Jepun 64 peratus berbanding 50 peratus.
Perancis menjadi negara yang mempunyai tahap penerimaan paling rendah iaitu 59 peratus, namun peratusan itu lebih baik berbanding 40 peratus pada Disember lalu.
Pandemik COVID-19 mengorbankan sekurang-kurangnya 2,526,075 penduduk dunia sejak ia muncul di China pada Disember 2019.
AS adalah negara paling teruk terjejas dengan 511,998 kematian. – AFP
