BRASILIA, 31 OGOS – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro telah hilang selera makan dan muntah berterusan, kata anaknya Jumaat lalu, hanya beberapa hari sebelum mengetahui nasibnya dalam perbicaraan.
“Beliau semakin kurus, tidak mempunyai keinginan untuk makan dan terus berdepan serangan sedu serta muntah,” Carlos Bolsonaro, salah seorang anak lelaki bekas Presiden, berkata pada X. “Terlalu perit melihat semua ini,” tambahnya.
Jair Bolsonaro yang berusia 70 tahun itu, memerintah Brazil dari 2019 hingga 2022, sedang dibicarakan bersama tujuh tertuduh kerana didakwa merancang untuk memegang kuasa secara haram selepas kalah dalam pilihan raya kepada Luiz Inacio Lula da Silva yang berhaluan kiri. Mahkamah Agung dijangka mula mengeluarkan keputusannya dalam kes itu lusa.
Bekas kapten tentera itu, yang mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdepan hukuman penjara 40 tahun jika sabit kesalahan.
Jair Bolsonaro telah berada di bawah tahanan rumah di ibu negara Brazil selama hampir sebulan dan perlu mengenakan gelang kaki elektronik, sekatan yang dikenakan sebagai sebahagian daripada penyiasatan ke atas dakwaan percubaan untuk mengganggu perbicaraan terhadapnya.
Bekas ketua negara itu mengalami gejala yang sama Julai lalu – sedu dan muntah yang dikaitkan dengan masalah penghadaman berpunca daripada luka tikaman yang diterimanya semasa acara kempen 2018.
Isu kesihatan itu membawa kepada ujian perubatan pada bulan ini yang mendedahkan beliau baru-baru ini mengalami dua serangan radang paru-paru. – AFP


