Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebagai sebahagian daripada aktiviti keagamaan di bulan Ramadan, warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menghadiri Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis berkenaan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Rombongan kementerian diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Saufi bin Haji Suhaini.
Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Tahlil dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.



