Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahlil di kubah semarak Ramadan

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam menyemarakkan bulan Ramadan, kementerian-kementerian kerajaan terus mengadakan majlis tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

    Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga telah mengadakan majlis seumpamanya, hari ini, yang dihadiri oleh seramai 250 orang pegawai dan kakitangannya.

    Hadir mengetuai rombongan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan dengan kerjasama Urus Setia Majlis Pelajaran Kebangsaan dan Pusat Teknologi Maklumat juga menganjurkan majlis serupa hari ini. Mengetuai rombongan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Turut hadir ialah naib canselor, rektor, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan dari kementerian berkenaan.

    Majlis seumpamanya merupakan aktiviti tahunan bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan dan sebagai wadah dalam meningkatkan amalan ibadat serta mengeratkan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan kerajaan.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa majlis tahlil anjuran KSSUP di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
    Dr Haji Azman mengetuai rombongan Kementerian Pendidikan bagi majlis tersebut.
    Antara yang turut hadir pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda