Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahlil seluruh negara 2 Disember ini

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Sempena 40 hari kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim pada 24 Oktober 2020, Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil akan diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara pada Rabu, 2 Disember 2020 ini.

    Sehubungan dengan itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk menghadirkan diri ke masjid-masjid dengan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah akan menjadi tumpuan untuk majlis membaca Surah Yasin dan tahlil agar roh Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ditempatkan bersama para anbia, Shiddiqin, Aulia dan solihin.

    Seruan itu diumumkan oleh khatib pada khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mempersiapkan Diri dengan Amal Ibadat’.

    Terdahulu, khatib mengingatkan agar semua umat Islam mempersiapkan diri dengan amal ibadah dan amal kebajikan sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak kerana mati itu adalah perkara benar dan ia adalah ketentuan Allah dan yang pasti akan terjadi dan apabila waktu dan ketikanya, ajal itu tidak akan dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat pun.

    “Ingatlah, ajal itu datang menjemput pada bila-bila masa saja dan kita hendaklah mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak.”

    Khatib menegaskan apabila berlaku kematian, akan terputuslah amal kebajikan, kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh.

    Orang yang telah meninggal dunia masih dapat menerima ganjaran pahala daripada amal kebajikan yang dilakukannya iaitu sedekah jariah dan segala amal yang bermanfaat yang diajarkannya.

    Di samping itu, juga mendapat ganjaran pahala daripada amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuk mereka.

    Allah telah mengingatkan supaya jangan lalai dan leka dalam menjalani kehidupan di dunia ini kerana kehidupan di dunia ini bukanlah satu matlamat bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa.

    Dalam pada itu, agama Islam sangat menggalakkan orang yang hidup terutama anak-anak dan keluarga yang terdekat supaya sentiasa membaca Al-Quran, berdoa, berzikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli keluarga dan sanak saudara yang telah meninggal dunia.

    “Insya-Allah dengan itu, mereka yang meninggal dunia akan mendapat pahala daripada amalan tersebut,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda