Tahniah Achey! Akhirnya miliki kediaman tiga tingkat

Impian pelawak Achey untuk mempunyai kediaman idaman tercapai apabila dia berjaya memiliki sebuah rumah teres tiga tingkat di Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Achey, dia dan isteri menggunakan wang simpanan untuk membeli kediaman itu dan dijangka berpindah selepas Hari Raya Aidiladha ini.

“Alhamdulillah… 10 tahun impian saya nak memiliki rumah itu! Sekarang sedang proses ubahsuai dan tak lama lagi siaplah.

“Kemungkinan selepas raya haji kami sekeluarga akan pindah. Rumah itu dibeli hasil wang simpanan dan saya jual empat buah motosikal… bukan beli tunai, masih lagi hutang bank!

“Berapa harga itu biarlah rahsia tapi biasa-biasa saja, lengkap dan selesa untuk keluarga kami,” katanya.

Impian Achey memiliki kediaman idaman tercapai hasil wang simpanan yang dikumpul selama 10 tahun. – Agensi

Achey ditemui wartawan baru-baru ini di Shah Alam.

Sebelum ini, Achey berkongsi beberapa keping foto hiasan dalaman rumah baharunya selepas proses pengubahsuaian di laman Instagram pada Khamis.

“Tibalah masa saya bagi teaser gambar-gambar yang anda nak tahu sangat rumah baharu saya.

“10 tahun bukan tahun yang sikit nak fokus kumpul duit, jual benda yang bukan keperluan untuk dapatkan rumah impian,” tulisnya.

Achey dan isteri Nor Hasanah Yahya mendirikan rumah tangga sejak sembilan tahun lalu dan mengambil anak angkat diberi nama Nur Tiara Zinnirah pada tahun 2018. – Agensi