Perkongsian seorang jurusolek selebriti Malaysia yang memuat naik foto Nelydia Senrose di Instagram dengan menggunakan gelaran datin terhadap pelakon itu menimbulkan tanda tanya.
Malah jurusolek dikenali Rozlan Nassir itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nelydia dan suaminya, Hafez Halimi.
Bagaimanapun individu itu tidak menyatakan maksud di sebalik ucapan tahniah yang dibuat.
“Tahniah Datuk Hafez Halimi dan Datin Nelydia,” tulisnya ringkas kelmarin.
Menariknya, perkongsian Rozlan itu turut meraih perhatian ramai apabila rata-rata tumpang gembira dan mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.

“Tahniah kepada awda berdua Datuk dan Datin.
“Tahniah Datin Hajah Nelydia. “Wow! Tahniah Nelydia,” tulis beberapa pengikut.
Menguatkan spekulasi itu, Rozlan dilihat meletakkan lokasi pada gambar tersebut iaitu di Kuantan, Pahang.
Difahamkan kelmarin berlangsungnya Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang diadakan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Pahang kelmarin.
Sementara itu, usaha mStar menghubungi Nelydia untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu tidak berjaya apabila mesej yang dihantar tiada balasan.
Untuk rekod, Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019 dalam sebuah majlis tertutup. – Agensi