TURKIYE, 29 MEI – Media Amerika dan beberapa pemimpin Islam serta dunia Arab menghantar perutusan tahniah masing-masing atas kemenangan Recep Tayyip Erdogan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pusingan kedua pilihan raya presiden Turkiye, kelmarin.
CNN membuat liputan menyeluruh sepanjang pilihan raya termasuk sambutan meriah yang berlangsung sehingga larut malam di Ankara selepas Erdogan diisytiharkan sebagai pemenang, lapor agensi Anadolu.
The New York Times, turut menyediakan ruangan khas di laman sesawangnya untuk berita dan kemas kini mengenai pilihan raya itu.
Kemenangan itu turut diumumkan dalam The Wall Street Journal (WSJ), The Washington Post dan akhbar Politico pula mengeluarkan berita bertajuk “Erdogan Turki Menang Lagi.”
Sementara itu, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam panggilan telefon kepada Erdogan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dan mendoakan Turkiye di bawah kepimpinan Erdogan semakin pesat membangun.
Erdogan turut merakamkan ucapan penghargaan beliau dan berharap agar kerjasama dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara dapat diperkukuh dalam mencapai kemaslahatan bersama demi kesejahteraan serantau, menurut agensi berita Qatar (QNA).
Di Arab Saudi, Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam perutusan tahniah Baginda berkata: “Tahniah kerana mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat sebagai Presiden Turkiye bagi penggal kedua.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud turut mendoakan Erdogan dan Turkiye, “Semoga hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama akan terus utuh,” menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA).
Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha turut mengutus ucapan tahniah atas kejayaan Erdogan mempertahankan jawatan presiden Turkiye, di samping mendoakan kemajuan republik berkenaan.
Turut tidak ketinggalan menyampaikan ucapan tahniah, termasuk Raja Jordan Raja Abdullah II, Sultan Oman Sultan Haitham bin Tariq Al Said dan Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al Ahmad Al Jaber Al Sabah. – Bernama