LONDON, 18 MEI – Pep Guardiola berkata Manchester City melakukan segala-galanya kecuali menjaringkan gol apabila kalahan 1-0 Piala FA kepada Crystal Palace kelmarin.
Buat kali kedua dalam karier pengurusan Guardiola, dia akan menamatkan musim ini tanpa trofi utama selepas kekalahan kontroversi dalam musim yang hambar buat City.
Penjaga gol Palace, Dean Henderson pula bernasib baik kerana terlepas kad merah kerana memegang bola di luar kotak penalti pada separuh masa pertama sebelum dia menyelamatkan sepakan penalti Omar Marmoush.
City sebenarnya mempunyai hampir 80 peratus penguasaan bola dan 23 percubaan tetapi gagal menyentuh jaring.
“Kami tidak menjaringkan gol, jadi tahniah Crystal Palace atas kemenangan itu,” kata Guardiola kepada BBC.
“Hari ini kami lebih agresif, kami mencipta banyak (peluang), terlepas sepakan penalti dan banyak perkara tetapi jika awda tidak menjaringkan gol awda tidak boleh menang.”
Guardiola enggan mempersoalkan tindakan Henderson dengan berkata, “ia bukan urusan saya.”
Dan dia juga mengesahkan bukan pilihannya untuk Marmoush yang mengambil sepakan penalti dan bukannya, Erling Haaland.
Pemain Norway itu, yang terlepas tiga sepakan penalti awal musim ini, memegang bola di tangannya sebelum menyerahkannya kepada Marmoush.
“Mereka sentiasa mengambil keputusan dalam pusingan penalti,” tambah Guardiola. “Saya suka lelaki yang mengambil inisiatif dan ya, mereka membuat keputusan.”
Sementar itu, wira Crystal Palace, Eberechi Eze kehilangan kata-kata selepas menjaringkan gol kemenangan untuk memenangi Piala FA tersebut.
Jaringan pemain antarabangsa England itu pada minit ke-16 membantu Palace merangkul trofi utama pertama mereka dalam sejarah 119 tahun kelab itu.
“Itu istimewa. Saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan,” kata Eze.
“Kami telah berdepan pasukan yang menjadi pasukan terbaik di dunia sejak sekian lama. Mereka tampil dengan semangat dan tenaga seperi itu,” tambah pemain berusia 26 tahun itu.
“Saya tidak boleh bernafas. Mereka mengekalkan bola dengan baik,” kata Eze mengenai permulaan pantas City.
“Kami juga tahu apabila kami sampai ke kotak penalti mereka, kami perlu pastikan serangan berhasil dan bersyukur kami membuat berjaya hari ini kerana ia bukan mudah.” – AFP
