SYDNEY, 31 DIS – Dunia mula menyambut Tahun Baharu hari ini, dengan kawalan pandemik menghapus perayaan untuk berbilion penduduk yang tidak sabar-sabar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2020 yang dibelenggu koronavirus.
Selepas tahun sukar yang melihat sekurang-kurangnya 1.7 juta orang meninggal dunia akibat COVID-19, gelombang jangkitan baharu telah mencetuskan sekatan baharu dan memaksa penduduk melanjutkan tradisi sambutan 2020 dengan menonton acara dalam rumah.
Dari Sydney hingga Rom, pertunjukan bunga api dan persembahan secara langsung akan disaksikan dalam talian atau di televisyen, jika acara-acara ini belum dibatalkan.
Australia akan menjadi antara negara pertama yang menyambut Tahun Baharu 2021 disebabkan jaraknya yang dekat dengan Garisan Tarikh Antarabangsa.
Sebelum ini, satu juta penduduk mengerumuni pelabuhan Sydney untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang bertumpu di Sydney Harbour Bridge, namun kebanyakannya akan menonton di televisyen tahun ini disebabkan pandemik.
Lokasi di pelabuhan dan taman popular akan ditutup. Pertunjukan bunga api pada pukul 9 malam dibatalkan tetapi pertunjukan piroteknik selama tujuh minit akan berlangsung pada tengah malam.
Penduduk hanya dibenarkan di pusat bandar Sydney jika mereka mempunyai tempahan restoran dengan lima orang maksimum. Orang tidak dibenarkan masuk ke pusat bandar tanpa permit.
“Saya rasa semua orang melihat pada tahun 2021 sebagai permulaan baharu,” beritahu Karen Roberts, antara beberapa orang yang bernasib baik dibenarkan masuk ke restoran Sydney Opera House, kepada AFP. – AFP
