Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahun baharu, azam baharu

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Begitu cepat masa berlalu, tahun 2023 sudah berada di penghujung dan bakal melabuhkan tirainya hari ini. Kita akan menjejaki tahun baharu 2024 dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmat kehidupan selama ini.

    Kenangan pahit dan manis perjalanan hidup sepanjang tahun 2023 pasti dilalui selagi kita bergelar hamba Allah dan segalanya menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita terus melangkah ke depan ke arah kebaikan.

    Lazimnya, kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan ‘apakah azam tahun baharu awda?’ sehinggakan ia menjadi satu perbualan dan topik ibarat setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menjelangnya tahun baharu. Hal ini terjadi kerana begitulah lumrah kehidupan manusiawi meletakkan jangkaan untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan dalam kehidupan mereka.

    FOKUS MATLAMAT LEBIH JELAS

    Apabila kita membicarakan maksud azam secara umumnya itu merujuk kepada cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria. Untuk menggapainya, kita perlu menetapkan matlamat yang lebih jelas dan fokus dengan susunan perancangan strategi tertentu.

    Pelbagai azam sering didengar yang pastinya menunjukkan sudut perkembangan positif dalam meniti kehidupan, seperti ‘saya mahu meningkatkan tahap kewangan’, ‘saya mahu menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya’, ‘saya ingin meningkatkan prestasi jualan’ dan sebagainya.

    Tahun 2023 sudah berada di penghujung dan kita akan menjejaki tahun baharu 2024 hari ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Hakikatnya, jika kita menyelami warna-warni kehidupan yang dialami oleh orang-orang yang telah berjaya, pastinya azam mereka bukanlah perkara yang biasa-biasa bahkan ia merupakan pencetus semangat juang mereka sehingga berjaya mencapai kejayaan.

    Orang berjaya tidak memanggil azam baharu sebagai azam kerana mereka lebih menyukai ia sebagai satu matlamat yang perlu dicapai dalam tahun tersebut.

    Matlamat yang ditetapkan akan dihuraikan dengan lebih spesifik dan memenuhi format ‘SMART’ iaitu S= specific, M= measurable, A= attainable, R= realistic dan T= timely.

    MANFATKAN MASA SEBAIKNYA

    Bagi orang yang berjaya, masa adalah emas dan setiap detik itu berharga. Meskipun sibuk, menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga adalah penting dan ia merupakan lambang kejayaan yang sebenar.

    Maka sebab itu, perkataan produktif amat sinonim dengan orang berjaya di mana setiap waktu diletakkan had-had untuk aktiviti-aktiviti tertentu agar masa tidak dibazirkan begitu sahaja.

    Apa yang perlu diamalkan juga memberikan ruang masa santai atau sering disebut sebagai me time adalah masa peribadi bagi orang yang berjaya.

    Kebiasaannya waktu sebegini memberikan peluang kepada orang berjaya untuk mengecas semula tenaga agar produktiviti dan kreativiti mereka tidak terbatas.

    Selain itu, perkara yang juga penting adalah menjaga kesihatan dengan baik. Tanpa kesihatan yang baik dan stabil, segala perancangan dan matlamat yang telah dan sedang dibangunkan oleh orang berjaya akan terganggu.

    Maka, mereka akan fokus kepada penjagaan kesihatan secara keseluruhan termasuk kesihatan fizikal dan mental.

    Pastinya persekitaran hidup yang terancang dan teratur sebegini adalah mustahak diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan produktiviti di tahap positif di samping ketenangan dalam minda orang berjaya.

    USAH TERLALU MEMIKIR HAL NEGATIF

    Selain itu, apa yang perlu kita ketahui juga orang berjaya sememangnya tidak ambil berat mengenai perkara-perkara negatif atau tidak hirau apa yang difikirkan orang di sekelilingnya.

    Hal ini kerana mereka tidak mahu perkara remeh-temeh berkenaan menghalang mereka daripada mencapai kemajuan. Di samping itu, orang yang berjaya pastinya memiliki keazaman untuk terus belajar dan menguasai ilmu atau kemahiran baharu yang akan memberikan nilai tambah dalam kehidupan mereka.

    Persoalannya di sini, adakah azam orang yang berjaya sama seperti kita? Oleh itu tepuk dada, tanya selera. Bersama kita berusaha menjadi insan-insan yang lebih membangun meliputi aspek duniawi dan juga ukhrawi.

    Dengan limpahan nikmat rezeki llahi, kita diizinkan lagi melangkah ke tahun baharu, tiada kata yang setanding diucapkan melainkan salah satu kalimah agung ‘Alhamdulillah’.

    Oleh yang demikian, penulis mewakili Media Permata ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada seluruh masyarakat di Negara Brunei Darussalam di mana pun berada dan didoakan semoga segala matlamat yang disasarkan akan tercapai pada tahun baharu ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda