Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahun bersejarah pilihan raya Indonesia

    JAKARTA, 25 DIS – Tahun 2024 menyaksikan kemajuan besar dalam perjalanan demokrasi Indonesia apabila negara itu mengadakan pilihan raya presiden, perundangan dan wilayah secara serentak buat kali pertama sejak berakhirnya era Orde Baru.

    Kemuncak tahun ini adalah kemenangan Prabowo Subianto sebagai presiden kelapan Indonesia, setelah percubaan kali ketiga untuk menerajui jawatan tertinggi negara.

    Ketua Parti Gerindra itu, bersama gandingannya, Gibran Rakabuming Raka memperoleh kemenangan yang memberangsangkan pada 14 Februari dengan meraih 58.6 peratus undi dalam satu pusingan sahaja.

    Dalam persaingan sengit itu, mereka mengalahkan calon lain seperti Anies Baswedan bersama Muhaimin Iskandar (24.9 peratus) dan Ganjar Pranowo dengan Mahfud MD (16.5 peratus).

    Prabowo, yang disokong oleh gabungan 10 parti politik Koalisi Indonesia Maju (KIM) secara rasmi mengambil alih jawatan pada 20 Oktober, menggantikan presiden dua penggal Joko Widodo, yang mesra dikenali sebagai Jokowi.

    Sebagai presiden, Prabowo memperkenalkan ‘Kabinet Merah Putih,’ barisan Kabinet terbesar sejak era Reformasi.

    Ia terdiri daripada tujuh menteri penyelaras, 41 menteri, 13 ketua agensi peringkat Kabinet dan 56 timbalan menteri. Seramai 17 menteri dari pentadbiran Jokowi dikekalkan. – Bernama

    Prabowo semasa mengangkat sumpah jawatan selaku Presiden baharu Indonesia di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat pada 20 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda