Tahun paling mencabar berakhir – FGV

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Selepas mengharungi tahun yang mencabar, yang menyaksikan sahamnya merosot, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) optimis muncul sebagai organisasi yang lebih kukuh dan efisyen hasil daripada penambahbaikan prestasi perladangan dan harga komoditi yang tinggi.

“Kami meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pasaran komoditi yang lebih baik, selari dengan paras inventori minyak sawit yang lebih rendah, permintaan eksport yang meninkat, pemberhentian sementara perladangan baharu di Indonesia selain pemulihan harga minyak mentah,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad. Bagi 2017, strategi FGV akan melibatkan tiga teras utama iaitu rasionalisasi perniagaan bagi menjadikan organisasi lebih cekap, memacu ke arah keberkesanan operasi dan pertumbuhan luar yang selektif, tanpa berkompromi terhadap tadbir urus yang baik dan penuh ketelusan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama

Zakaria berkata rasionalisasi secara menyeluruh dalam Kumpulan FGV akan menjadikan kumpulan itu lebih esfisyen dan kompetitif pada 2017 menerusi penstrukturan, pelupusan atau kerjasama dengan rakan lain bagi aset yang menyebabkan keuntungannya merosot.

FGV juga menyusun semula struktur organisai dan model perniagaan bagi mencapai keseragaman dan kebolehtangungjawaban, kebergantungan terhadap ketidaktentuan komoditi dan mata wang dan juga memantau lebih mendalam perniagaan syarikat sekutu, katanya.

Beliau berkata bagi bahagian hiliran, kami akan membangunkan penerokaan pasaran, sama ada secara organik, ejen pemasaran atau kerjasama strategik dengan penggiat tempatan.

Selain itu, FGV yang beroperasi dengan kos pentadbiran yang cukup tinggi sebelum ini, kini berjaya dikurangkan sebanyak lebih RM100 juta, tertakluk kepada pengauditan.

“Kos pentadbiran yang kini lebih cekap, sudah menjadi budaya dan regim pengurusan dalam FGV, dengan dapat melaksanakan lebih banyak perkara pada kos yang lebih rendah,” katanya.

Zakaria berkata Pelan Strategik 2017-2020 FGV, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, menyediakan hala tuju yang lebih jelas dan kaedah untuk memacu pertumbuhan mampan dalam keseluruhan organisasi.

Beliau juga berkata semakan menyeluruh terma kerjasama dengan rakan kerjasama strategik dilaksanakan bagi mencapai aspirasi kerjasama yang sebenar, yang secara langsung memberi nilai yang lebih baik kepada FGV.

“Semakan ini juga antara lain bagi memastikan kuasa bersama dalam operasi dan bahagian korporat, produk bersama, pembangunan pasaran, hala tuju dalam pemindahan teknologi dan pendedahan modal insan ke dalam persekitaran perniagaan dunia.”

Selain itu, kriteria pemilihan untuk sebarang kerjasama pada masa depan juga telah diketatkan dengan mekanisma sama-sama menang perlu diperjelas sebelum sebarang perjanjian kerjasama dimeterai. – Bernama