Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahun Undang-undang 2025 dirasmikan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Dalam tempoh 12 bulan yang berakhir pada Disember 2024, kadar penyelesaian kes jenayah di Mahkamah Majistret mencatatkan 90 peratus, manakala kadar penyelesaian kes sivil mencapai 100 peratus.

    Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding kadar penyelesaian tahun sebelumnya, masing-masing sebanyak 80 peratus bagi kes jenayah dan 83 peratus bagi kes sivil.

    Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong, menyampaikan perkara ini semasa Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2025 yang berlangsung di Mahkamah Besar hari ini.

    Majlis dimulakan dengan perbarisan kawalan kehormatan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei di perkarangan Bangunan Mahkamah Besar. Perbarisan tersebut telah diperiksa oleh Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong.

    Dalam ucapannya, Ketua Hakim menjelaskan bahawa 88 peratus daripada keputusan mahkamah bagi kes jenayah Mahkamah Majistret disampaikan dalam tempoh tiga bulan selepas penutupan penghujahan, manakala 75 peratus keputusan bagi kes sivil Mahkamah Tinggi juga diselesaikan dalam tempoh sama.

    Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong ketika memeriksa perbarisan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang menghadiri majlis tersebut.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau turut berkongsi bahawa jumlah kes jenayah yang difailkan di Mahkamah Majistret menunjukkan penurunan daripada 498 kes pada 2023 kepada 481 kes pada 2024.

    Penurunan yang sama juga dicatatkan di Mahkamah Perantaraan, dengan hanya 49 kes difailkan pada 2024 berbanding 58 pada 2023.

    Selain itu, bilangan kes jenayah di Mahkamah Tinggi turut menurun, daripada 14 kes pada 2023 kepada 12 kes pada 2024. Statistik lain menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah permohonan pendaftaran perkahwinan, daripada 115 pada 2023 kepada 66 pada 2024, manakala terdapat peningkatan dalam bilangan petisyen perceraian yang difailkan.

    Pejabat Pendaftaran Probet juga mencatatkan peningkatan jumlah permohonan untuk surat pentadbiran, dengan 768 permohonan diterima pada 2024. Jumlah notis kebankrapan yang difailkan di Pejabat Pegawai Penerima Rasmi turut meningkat daripada 344 pada 2023 kepada 350 pada 2024.

    Ketua Hakim menegaskan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan perintah penggulungan, dengan 15 syarikat dibubarkan pada 2024 berbanding 9 syarikat pada 2023.

    Beliau turut menggariskan inisiatif utama Badan Kehakiman untuk tahun 2025, termasuk penaiktarafan JCMS, pembaharuan prosedur sivil, pengukuhan sistem keadilan keluarga, program mentorship dan latihan untuk profesion undang-undang, garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta pembaharuan insolvensi.

    Dalam aspek pengukuhan sistem keadilan keluarga, Ketua Hakim menekankan kepentingan pengantaraan, perdamaian dan kesejahteraan masyarakat bagi memulihkan institusi keluarga. Beliau juga mengumumkan visi Badan Kehakiman untuk membangunkan sistem keadilan keluarga yang restoratif, seiring dengan aspirasi Pelan Sosial Wawasan 2035.

    Beliau turut mencadangkan pembaharuan kepada rangka kerja insolvensi Brunei bagi memastikan ia mesra pengguna serta memenuhi keperluan komuniti perniagaan dan individu.

    Di peringkat antarabangsa, Badan Kehakiman terus menjalinkan kerjasama dengan mahkamah asing, termasuk melalui memorandum kerjasama kehakiman (MOJC) dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Mac 2024 dan memorandum persefahaman (MoU) dengan Kehakiman Republik Peru pada November 2024.

    Majlis turut menyaksikan ucapan daripada Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dan Presiden Persatuan Undang-undang, Haji Mohammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid.

    Majlis dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

    Turut hadir ialah duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi luar negara ke Brunei Darussalam serta anggota diplomatik, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai kehakiman dari mahkamah sivil dan syariah, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-undang, pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan, dan pelajar-pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Perdagangan Laksamana dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda