Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 5 Feb – Bagi menggalakkan warga emas mengekalkan gaya hidup sihat, Pusat Kegiatan Warga Emas
(PKWE) Daerah Tutong telah mengadakan pelancaran senaman Tai Chi bagi acara mingguan di pusat berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.
Sebelum senaman Tai Chi dijalankan, satu taklimat ringkas mengenai kebaikan senaman Tai Chi telah disampaikan oleh Awang Zainal bin Tinggal dan diikuti dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Menurut Awang Zainal, senaman Tai Chi adalah baik untuk tubuh badan dan memberi banyak faedah kesihatan khususnya kepada warga emas.
Senaman ini juga dapat membantu masalah pernafasan, sendi-sendi dan otot serta membantu menurunkan tinggi darah dan mengurangkan masalah pencernaan usus.
Acara diikuti dengan senaman Tai Chi selama 20 minit yang disertai oleh ahli-ahli PKWE Tutong.
Acara senaman Tai Chi ini akan dijalankan pada setiap hari Sabtu, jam 8 pagi di kawasan PKWE Tutong dan warga emas yang ingin menyertai senaman Tai Chi disarankan untuk hadir dan mendaftar di pusat berkenaan.