Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), malam tadi, mengadakan Majlis Sembahyang Hajat Berjemaah dan Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun ke-27 penubuhan Perbadanan TAIB di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar selaku pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Ketua Kampung Limau Manis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari; ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan di bawahnya, ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah dan kakitangan Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.
Kedatangan ahli-ahli lembaga pengarah dan orang ramai dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman.


Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib dan sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Jefri Bolkiah, Awang Rozaime bin Haji Bunal diikuti dengan bacaan Surah Yassin dan Doa Kesyukuran.
Selain itu, majlis diteruskan dengan sumbangan ‘Sumbangsih Dana Amal Maslahah Umum Perbadanan TAIB’ berupa alat Portable Public Address System Computer, mesin pencetak 4 dalam 1 dan dua set peralatan jenazah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi kepada Awang Rozaime.
Majlis diakhiri dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah diikuti dengan Dikir Marhaban bagi meraikan seorang ahli kakitangan Perbadanan TAIB iaitu Awang David Mikael bin Abdullah Imeran yang telah memeluk agama Islam pada 21 September lalu.