Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAIB gembirakan kanak-kanak asnaf

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Dalam semangat Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) telah menganjurkan acara membeli-belah bersama 50 orang anak-anak asnaf di Airport Mall, Berakas, hari ini.

    Acara amal tahunan berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Perbadanan TAIB dalam memberi balik kepada masyarakat dan mereka yang kurang bernasib baik.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan TAIB, kanak-kanak yang berdaftar dengan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) itu diberi baucar makan dan sumbangan wang untuk membeli keperluan bagi Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

    Sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan ahli-ahli jawatankuasa dari MKM terlibat membantu kanak-kanak berkenaan semasa membeli-belah.

    Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman yang turut menyampaikan sampul hijau kepada anak-anak asnaf berkenaan.

    Dalam ucapannya itu, beliau menyatakan bahawa sudah menjadi amalan syarikat untuk memberi balik kepada masyarakat semasa perayaan-perayaan. Beliau berharap acara berkenaan akan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak tersebut.

    Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa dari MKM serta sukarelawan Perbadanan TAIB atas sokongan mereka untuk menjayakan acara tersebut.

    Hajah Noorrafidah, sukarelawan Perbadanan TAIB dan ahli-ahli jawatankuasa dari MKM bergambar ramai bersama kanak-kanak asnaf selepas acara membeli-belah.
    Hajah Noorrafidah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak asnaf yang diraikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda