Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bagi meraikan kira-kira 600 orang kakitangan dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB), Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) atas dedikasi dan komitmen mereka kepada syarikat, Perbadanan (TAIB) mengadakan Majlis Penghargaan dan Makan Malam Tahunan TAIB 2019 yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaisan hadiah serta cenderahati kepada para penerima ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, ahli-ahli Jawatakuasa Penasihat Syariah, pengarah-pengarah urusan dan kakitangan Perbadanan TAIB, IITHSB dan DHSB.
Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua penerima anugerah perkhidmatan lama.
Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya mengongsikan pencapaian-pencapaian yang diperoleh Perbadanan TAIB pada 2018 serta berkongsi mengenai perancangan masa depannya.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Pehin turut menghargai sokongan dan kerja keras semua kakitangan di mana sumbangan mereka telah membantu syarikat untuk terus berkembang.
Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pehin menyempurnakan penyampainan Anugerah Perkhidmatan Lama kepada seramai 72 orang kakitangan iaitu 38 orang dari Perbadanan TAIB termasuk stesen minyak TAIB, 24 orang dari IITHSB dan 10 orang dari DHSB.
Mendahului senarai penerima anugerah itu ialah penerima anugerah perkhidmatan 25 tahun diikuti oleh penerima anugerah perkhidmatan 20 tahun, 15 tahun, 10 tahun dan lima tahun mengikut syarikat masing-masing.

