Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taib: SCORE rancakkan ekonomi S’wak

    KUCHING, 30 Jan – Peluang pekerjaan dan perniagaan di Sarawak meningkat dengan ketara sejak Koridor  Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) ditubuhkan pada 2008.

    Yang Dipertua  Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata pada 2016,  Keluaran Dalam Negeri Kasar Sarawak meningkat kepada RM124 bilion berbanding hanya RM550 juta pada 1963 manakala nilai eksport pula mencecah  RM77 bilion pada 2016 berbanding RM373 juta pada 1963.

    “Jumlah pekerjaan pula menjangkau 1.2 juta pada 2016 berbanding hanya 294,000 pada 1963,” katanya ketika berucap pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersempena ulang tahun ke-150 kewujudannya, di sini hari ini.

    Menurutnya Sarawak kini telah mencapai taraf guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kurang daripada empat  peratus.

    “Kadar kemiskinan berjaya dikurangkan daripada lebih 56 peratus pada 1976 kepada hanya 0.6 peratus pada  2016. Pencapaian ini jelas membuktikan kewibawaan kepimpinan kerajaan kita yang sentiasa berusaha untuk memperjuangkan  dan membela nasib rakyat,” katanya.

    Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (kiri) dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) selepas menghadiri Istiadat Perbarisan dan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama sempena Mesyuarat Khas Sambutan Ulang Tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak di Dataran Perbarisan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya hari ini. – Bernama

    Abdul Taib berkata beliau yakin di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarawak akan terus mengecap kejayaan lebih besar dan mencapai status negeri maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030.

    Pada tengah harinya, bersempena sambutan ulang tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri, beliau merasmikan Galeri Pameran di Atrium bangunan DUN yang khusus memaparkan koleksi gambar-gambar bersejarah berkaitan DUN  itu antara 1987 sehingga kini.

    Galeri itu adalah hasil  kerjasama  Speaker DUN Datuk Amar Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Jabatan Ketua Menteri Abdullah Saidol serta Jabatan Muzium Sarawak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda