Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAIB sertai pameran majlis ramah mesra

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Kumpulan Syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) yang terdiri daripada anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) dengan bangganya telah menyertai majlis ramah mesra yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun.

    Acara itu berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara kelmarin, dan merupakan pertunjukan perpaduan dan kegembiraan yang dikongsi bersama warga dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

    Sebagai salah satu gerai peserta pameran semasa sambutan itu, Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB diberi penghormatan dalam mempamerkan sumbangan mereka kepada landskap kewangan Brunei.

    Di tengah-tengah pameran itu, gerai Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB menampilkan paparan memukau kek Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang direka khas bagi memperingati majlis itu.

    Di samping itu, plak sembah Selamat Hari Keputeran telah disediakan untuk tandatangan Baginda Sultan.

    ATAS & BAWAH : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar serahan Perbadanan TAIB
    Gambar serahan Perbadanan TAIB

    Pameran itu turut mempersembahkan video menarik yang menonjolkan rangkaian produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan oleh Perbadanan TAIB, termasuk memperingati ulang tahun ke-30 dua anak syarikatnya, IITHSB dan DHSB.

    Majlis diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja. Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB berbesar hati kerana berpeluang bertemu dan berjunjung ziarah dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja di ibu negara menjadikan majlis itu lebih bermakna.

    Dalam semangat memberi kembali kepada masyarakat dan memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka, sukarelawan dari Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB mengambil bahagian secara aktif dalam mengagihkan 1,000 botol air dan roti keju dengan inti yang dibekalkan oleh Komugi Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda