Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taikun hartanah Austria dibicarakan atas tuduhan penipuan

    VIENNA, 14 OKT – Bekas taikun hartanah Austria, Rene Benko mula dibicarakan hari ini atas tuduhan penipuan, pertuduhan pertama dalam siasatan besar-besaran berhubung kemuflisan bekas empayar hartanahnya.

    Benko, yang suatu ketika dahulu antara individu terkaya di Austria, menubuhkan Signa Holding pada tahun 2000, namun kumpulan syarikat yang dibelenggu hutang itu runtuh pada 2023 dalam kes muflis terbesar dalam sejarah negara tersebut.

    Pemiutang termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Thailand kini menuntut berbilion euro daripada Signa, yang sebelum ini memiliki aset bernilai tinggi termasuk Bangunan Chrysler di New York serta beberapa rangkaian gedung beli-belah terkenal di Eropah.

    Menurut media Austria, Benko tiba di mahkamah wilayah di Innsbruck berpakaian sut hitam tanpa gari, dengan kawalan keselamatan diperketat.

    Perbicaraan dijangka berlangsung selama dua hari dan keputusan mungkin diumumkan seawal Rabu, menurut jurucakap mahkamah.

    Benko, 48, yang ditahan sejak penangkapannya di vila miliknya di Innsbruck pada Januari lalu, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah. Beliau menafikan semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

    Seramai 12 suspek lain turut disiasat dalam kes muflis ini, dengan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira AS$350 juta, menurut pihak pendakwa raya.

    Dalam kes semasa, Benko dituduh menyembunyikan aset bernilai kira-kira 660 juta euro bagi mengelak tuntutan pemiutang semasa proses kebankrapan.

    Pada akhir tahun 2023, Benko didakwa menghadiahkan 300 juta euro kepada ibunya serta membuat bayaran pendahuluan untuk sewaan dan kos operasi vilanya, yang dianggap pendakwa sebagai ‘tidak wajar dari segi ekonomi.’ – AFP

    Rene Benko tiba di mahkamah bagi perbicaraannya berhubung dakwaan penipuan, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda