HANOI, 6 JUN – Seorang taikun hartanah Vietnam yang dijatuhi hukuman mati dalam kes penipuan AS$27 bilion kini mungkin menghadapi pendakwaan kerana pengubahan wang haram, kata media kerajaan pada hari ini.
Truong My Lan, pengerusi pemaju utama Van Thinh Phat, didapati bersalah pada bulan April kerana menipu wang tunai daripada Saigon Commercial Bank (SCB) selama sedekad dalam salah satu kes rasuah terbesar dalam sejarah.
Polis berkata lewat kelmarin bahawa mereka sedang berusaha untuk mendakwa 34 orang dalam kes yang sama, menuduh mereka melakukan penipuan, penggubahan wang haram dan penyeludupan wang rentas sempadan.
Kenyataan polis tidak memberikan butiran lanjut, tetapi media kerajaan berkata Lan adalah antara 34 orang itu.
Antara 2012 dan 2022, Lan menggunakan hampir 1,300 permohonan pinjaman palsu untuk mengeluarkan wang daripada SCB, di mana dia memiliki 90 peratus kepentingan, mahkamah mendapati.
Laporan berkata pemandunya mengangkut wang tunai berjumlah lebih AS$4.4 bilion dari ibu pejabat SCB di bandar Ho Chi Minh ke rumahnya yang berdekatan dan ibu pejabat Van Thinh Phat.
Lan menggelapkan AS$12.5 bilion, tetapi pendakwa raya berkata jumlah ganti rugi yang disebabkan oleh penipuan itu berjumlah AS$27 bilion – angka bersamaan enam peratus daripada KDNK 2023 negara tersebut.
Mahkamah memerintahkan Lan membayar hampir keseluruhan jumlah ganti rugi sebagai pampasan.
Pihak berkuasa mengenal pasti kira-kira 42,000 mangsa dalam kes itu.
Suami Lan, jutawan Hong Kong Eric Chu Nap Kee, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Polis berkata lewat tahun lalu bahawa kebanyakan wang tunai telah dilaburkan dalam projek hartanah atau diperdagangkan ke luar negara.
Penangkapan dan pendakwaan Lan dilakukan sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap rasuah di seluruh negara, yang telah menyelubungi pegawai kanan dan ahli elit perniagaan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada hujung April, dia memfailkan rayuan terhadap hukuman mati. Sebarang rayuan mesti dibuat dalam tempoh 60 hari. – AFP


