TOKYO – Di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan sikap kesetiaan terhadap syarikat dan pekerjaan sepanjang hayat, individu yang kerap berpindah pekerjaan sering dianggap sebagai orang yang mudah berputus asa. Dan itu dianggap memalukan.
Sehubungan itu, muncullah ‘taishoku daiko,’ atau ‘agensi meninggalkan pekerjaan.’
Beberapa perkhidmatan seperti itu muncul dalam beberapa tahun terakhir ini untuk membantu orang-orang yang hanya ingin berhenti kerja.
“Bayangkan perceraian yang berantakan,” kata Yoshihito Hasegawa, mengetuai sebuah agensi berpusat di Tokyo, yang perkhidmatannya, Guardian tahun lalu memberikan nasihat kepada 13,000 orang tentang cara meletakkan jawatan dengan masalah yang minimum.
Orang ramai sering bertahan dengan pekerjaan mereka walaupun tidak bahagia, merasa seolah-olah mereka adalah ‘kamikaze’ yang mengorbankan nyawa mereka untuk kebaikan yang lebih besar, katanya, membandingkan kliennya dengan tentera udara yang dihantar dalam misi bunuh diri pada hari-hari terakhir Perang Dunia II.
“Caranya adalah seperti itu, sama seperti cara orang muda diajar untuk menghormati orang tua,” katanya. “Berhenti akan dianggap sebagai pengkhianatan.”
Ditubuhkan pada tahun 2020, Guardian, perkhidmatan taishoku daiko, telah membantu pelbagai orang, terutamanya dalam usia 20an dan 30an, berhenti daripada pekerjaan mereka tanpa menyakitkan.
Ini termasuk orang-orang yang bekerja di kuil Shinto, pejabat pergigian dan firma guaman sehinggalah staf kedai serba neka dan restoran.
Hampir separuh daripada pelanggan Guardian terdiri daripada golongan wanita.
Sesetengahnya bekerja sehari atau dua hari kemudian mendapati bahawa ganjaran atau gajinya atau waktu bekerja adalah tak setimpal dan palsu.
Guardian mengenakan bayaran 29,800 yen (AS$208) untuk perkhidmatannya, yang termasuk keahlian selama tiga bulan dalam sebuah kesatuan yang akan mewakili pekerja dalam proses rundingan yang sering menjadi rumit dan kurang menyenangkan di Jepun.
Secara umumnya, kebanyakan pelanggan Guardian bekerja dalam perniagaan kecil dan sederhana yang menggaji kebanyakan orang Jepun. Ada kalanya, terdapat pelanggan yang bekerja untuk syarikat besar mencari bantuan.
Dalam banyak kes, majikan akan memutuskan tentang bagaimana sesuatu perkara itu dikendalikan dan ada kalanya menolak untuk memberhentikan pekerja, terutamanya kerana kebanyakan tempat amat memerlukan pekerja, disebabkan pasaran buruh yang kronik di Jepun.
Secara asasnya, undang-undang Jepun menjamin hak seseorang untuk berhenti, tetapi beberapa majikan yang sudah terbiasa dengan hierarki gaya lama tidak dapat menerima hakikat bahawa seseorang yang telah mereka latih mahu meletak jawatan.
Orang-orang yang menghadapi pergelutan untuk berhenti kerja dan ditemu bual dalam artikel ini banyak menggunakan istilah seperti ‘fanatik, buli dan mini-Hitler’ untuk menggambarkan majikan seperti itu.
Tekanan ‘workaholic’ penurut dalam budaya Jepun sangat berat. Pekerja tidak ingin dilihat sebagai seorang yang bermasalah, enggan mempersoalkan kuasa dan mungkin takut untuk bersuara. Mereka mungkin takut diganggu selepas berhenti kerja. Sesetengahnya risau tentang pendapat keluarga atau rakan-rakan mereka.
Walaupun kebanyakan pelanggan Guardian lebih suka dirahsiakan identitinya, seorang pemuda yang dikenali online sebagai Twichan meminta bantuan selepas dikritik kerana prestasi jualannya dan menjadi begitu tertekan sehingga dia memikirkan untuk membunuh dirinya. Dengan bantuan Guardian, dia dapat berhenti dalam masa 45 minit.
Taku Yamazaki, yang pergi ke taishoku daiko yang lain, mengatakan majikan terdahulunya adalah anak syarikat pembekal IT besar dan dia tahu bahawa pemergiannya akan menjadi rumit dan memakan masa kerana kejayaan yang diciptanya di sana.
“Saya bagaimanapun amat berterima kasih kepada majikan yang saya tinggalkan, tetapi saya mahu beralih arah bagi memastikan kesihatan mental dan berkembang maju di tempat lain secepat mungkin,” tambahnya.
Apabila orang ramai mengisi borang online taishoku daiko, balasan automatik diterima dalam beberapa minit, dengan balasan yang lebih peribadi dijanjikan dalam masa satu hari bekerja.
Peguam Akiko Ozawa, yang firma guamnya memberi khidmat nasihat kepada pekerja yang berhenti walaupun biasanya mewakili syarikat, mengakui mungkin sukar untuk mempercayai bahawa sesetengah orang tidak boleh terus berhenti.
“Tetapi menukar pekerjaan adalah satu cabaran besar di Jepun yang memerlukan keberanian yang hebat,” kata Ozawa, yang telah menulis sebuah buku tentang taishoku daiko. Mengingat kekurangan pekerja di Jepun, mencari dan melatih pengganti adalah sukar dan majikan kadang-kadang marah ketika seseorang berhenti.
“Selagi pemikiran Jepun ini wujud, keperluan bagi pekerjaan saya tidak akan berkurang,” kata Ozawa, yang mengenakan bayaran 65,000 yen (AS$450) untuk perkhidmatannya.
“Jika awda sangat tidak bahagia sehingga awda mula merasa tidak sihat, maka awda harus membuat pilihan untuk mengawal hidup awda.”
Perkhidmatan berhenti kerja yang lain, Albatross, menawarkan perkhidmatan “MoMuri,” atau “tidak tahan lagi,” mengenakan bayaran 22,000 yen (AS$150) untuk pekerja sepenuh masa, dan bayaran 12,000 yen ($80) yang murah untuk pekerja separuh masa.
Masalah di tempat kerja telah wujud sejak dahulu lagi, tetapi kini orang lebih sedar bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan online, kata pengasasnya, Shinji Tanimoto.
“Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat tidur sama sekali tetapi selepas mendapatkan perkhidmatan kami, mereka boleh tidur semahunya,” katanya mengenai pelanggan MoMuri. “Pengguna berterima kasih kepada kami. Sesetengahnya sehingga menangis kegembiraan,” tambahnya.
Mereka yang ingin berhenti kerja termasuklah individu bekerja di sebuah kedai haiwan peliharaan di mana pekerja secara rahsia menendang haiwan. Seorang lagi dari sebuah klinik pergigian di mana kakitangan tidak menggunakan sarung tangan baharu untuk setiap pesakit.
Manakala ramai wanita bekerja sebagai jururawat atau penjaga diminta kekal sehinggalah pengganti ditemui, tetapi akhirnya terus bekerja dalam pekerjaan itu setahun kemudian, katanya.
Toshiyuki Niino mewujudkan Exit Inc. Dia adalah salah seorang peneraju dalam sektor taishoku daiko, pada tahun 2018, selepas bosnya selalu menjerit dan menengkingnya. Seorang lagi bos mengancam membunuhnya.
Dia berhenti dari kedua-dua pekerjaan itu dan melihat adanya satu peluang. “Saya bangga memulakan genre kerja ini,” katanya.
Exit mengenakan bayaran 20,000 yen (AS$140). Sekarang, setelah majikan memahami apa itu taishoku daiko, prosesnya boleh selesai dalam 15 minit, setelah borang meletak jawatan dihantar.
Niino, yang mengatakan dia tidak pernah sekali pun menyatakan pendapat di sekolah, menyalahkan sistem pendidikan Jepun yang menghasilkan pekerja yang taat dan tidak dapat mempertahankan diri.
Dia sedang mempertimbangkan untuk meluaskan perkhidmatannya merangkumi kaunseling kesihatan mental, rujukan pekerjaan dan mungkin juga mengembangluaskan perkhidmatannya ke luar negara.
Niino turut merasa lucu dan ketawa, menceritakan bagaimana salah seorang pekerjanya sendiri menggunakan agensi pesaing untuk berhenti kerja kemudian meneruskan dengan membuka syarikat taishoku daiko sendiri.
“Yang terbaik adalah jika awda sendiri dapat mengatakan awda ingin berhenti,” katanya. – AP