Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Taitung, destinasi percutian rahsia di Taiwan

    TAITUNG – Pada 15 Januari lalu, daerah tenggara Taiwan, Taitung mengadakan persembahan pelancongan pertama bagi tahun 2024 di Kuala Lumpur kepada hampir 100 pengusaha pelancongan Malaysia, yang menunjukkan minat luar biasa terhadap sorotan budaya, pemandangan alam semula jadi dan masakan, serta insentif perjalanan yang dipamerkan pada acara tersebut.

    Bertemakan Bersiar-siar di Taitung, persembahan itu berlangsung lebih awal pada tahun ini berbanding sebelumnya bertujuan membantu pengunjung luar negara membuat rancangan perjalanan mereka dengan lebih cepat.

    Persembahan dimulakan dengan nyanyian dan tarian oleh artis gubahan dalam kalangan Orang Asli Taiwan dan terdiri daripada taklimat dengan filem yang menyerlahkan 10 ciri di Taitung, termasuk tempat untuk dikunjungi, makanan untuk dimakan dan aktiviti yang tidak boleh dilepaskan, yang mesti dimasukkan ke dalam jadual perjalanan pengunjung ke daerah itu. Program subsidi untuk penerbangan sewa khas dan pelancong antarabangsa serta bonus tambahan Taitung turut diumumkan pada majlis itu.

    Dipercayai bahawa subsidi daripada kerajaan pusat Taiwan dan Daerah Taitung akan membantu menarik perhatian lebih ramai pengunjung Malaysia ke daerah tenggara dan penerbangan sewa khas akan menjadikan perjalanan mereka lebih mudah dan pantas.

    “Pemandangan alam semula jadi, perayaan istimewa dan budaya orang asli yang unik di Taitung ialah semua ciri yang tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana pelawat luar negara,” kata Jessie Chiang, ketua Jabatan Pengangkutan dan Promosi Pelancongan Daerah. “Kami berharap persembahan pada hari Isnin lalu telah membantu pengusaha Malaysia mengetahui lebih lanjut tentang Taitung sebagai destinasi percutian rahsia.”

    Selain persembahan nyanyian dan tarian yang penuh semangat oleh kumpulan orang asli dan penyampaian maklumat pelancongan, pengusaha pelancongan yang menghadiri acara itu mencuba teh oolong merah, minuman yang mesti diminum ketika berada di Taitung dan memakai pakaian tradisional puak orang asli di daerah itu.

    Diharapkan bahawa dengan menikmati layanan mesra yang ditawarkan oleh Taitung terlebih dahulu, rakan niaga daerah dalam industri pelancongan Malaysia akan menyampaikan pengalaman mereka yang menggembirakan kepada lebih ramai pelancong luar di negara ini. – Bernama

    Pemandangan sawah padi berlatarbelakangkan gunung-ganang, di Kampung Chishang, tenggara Daerah Taitung, Taiwan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...