Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah mendedahkan Jenama Pelancongan Taiwan Versi 3.0, Taiwan – Waves of Wonder, menggunakan rona jingga matahari terbit bukan saja untuk menyelaraskan kemesraan dan semangat pada jenama sebelumnya, tetapi melambangkan pembangunan masa depan industri pelancongan Taiwan.
Logo jenama baharu itu mencerminkan sebuah landskap pantai Taiwan yang menakjubkan, keindahan gunung-ganang, budaya yang dinamik, kereta api dan lautan yang pasang surut seperti ombak untuk menggambarkan destinasi bermusim sepanjang tahun.
Bersempena dengan ucapan ‘Salam!’, Pejabat Kuala Lumpur Pentadbiran Pelancongan Taiwan kini kembali mempromosikan pelancongan ke Taiwan semasa Pesta Pelancongan Sabre 2024 yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Oleh itu penduduk Brunei dialu-alukan untuk memilih Taiwan sebagai destinasi percutian yang seterusnya, menawarkan pelancongan yang mudah dengan pengecualian visa untuk pelancong Brunei sehingga 31 Julai 2025.
Kempen itu akan menonjolkan persekitaran mesra Muslim Taiwan, mempromosikan trend perjalanan mesra alam dengan mempamerkan Alishan Forest Railway di Chiayi dan Tanya Shen Greenway di Taichung, memberi peluang kepada pengunjung Brunei untuk merasai pengalaman Biking & Rail Traveling di Taiwan.
Pentadbiran Pelancongan Taiwan memupuk kerjasama rapat dengan daerah-daerah, kawasan pemandangan dan industri pelancongan untuk pasaran Brunei termasuk makanan dan minuman, hotel, surau awam yang selesa dan kosmetik dan penjagaan kulit yang disahkan halal.
Terdapat juga aplikasi Tour Taiwan dan Halal-TW untuk menambah kemudahan bagi pengunjung Muslim mencari kedai halal, waktu solat, masjid dan surau di samping maklumat pengangkutan dan penginapan.
Aplikasi khusus Halal-TW menggunakan bahasa Inggeris, Cina dan Indonesia. Oleh itu, pengunjung Islam kini boleh menikmati pengalaman Taiwan dengan mudah.
Taiwan juga terkenal dengan banyak pilihan makanan dan juadah yang benar-benar unik dan sebahagian daripadanya ditawarkan oleh kedai-kedai mesra Muslim.
Taiwan mempunyai penduduk Islam seramai 300,000 orang dan keperluan harian mereka dibantu oleh tiga pertubuhan iaitu Persatuan Cina Muslim, Pusat Halal Taiwan dan Persatuan Islam Taiwan.
Trend turut menunjukkan pengunjung Muslim yang lebih muda merupakan mereka yang lebih memilih destinasi yang memberi pengalaman keseluruhan terbaik, daripada membeli-belah dan makanan sehingga ke taman tema dan aktiviti luar yang menarik serta pemandangan yang indah.
Pengarah Pejabat Kuala Lumpur Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Abe Chou berkata, Taiwan telah dianugerahkan ‘Destinasi Riadah Terbaik di Asia’ baru-baru ini di Leisure Lifestyle Awards ke-12 oleh Global Traveler dan berharap Brunei terus menjadi pasaran untuk pengunjung Muslim.
“Ketika kami terus mengalu-alukan lebih ramai pengunjung Muslim dari Brunei ke Taiwan, kami mengucapkan ‘Salam’ kepada warga Brunei untuk menyertai kempen berterusan Salam Taiwan kepada semua umat Islam seluruh dunia.
“Taiwan komited menjadi hab halal dan berusaha menjadi destinasi pilihan dan kami akan terus menambah baik kemudahan memenuhi keperluan pengunjung Islam,” tambahnya.