LONDON, 14 MEI – Penyerang Nottingham Forest, Taiwo Awoniyi diletakkan dalam keadaan koma untuk membantu pemulihannya daripada pembedahan perut, menurut beberapa laporan kelmarin.
Pemain antarabangsa Nigeria itu dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan pada Isnin, selepas mengalami kecederaan serius ketika seri 2-2 dengan Leicester dalam Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Tiada sebarang laporan menyatakan keadaan pemain berusia 27 tahun itu boleh mengancam nyawanya dan difahamkan koma itu akan membantu mengurangkan pergerakan serta mengawal kadar denyutan jantungnya.
Awoniyi terlanggar dengan tiang gol ketika cuba menjaringkan gol pada minit terakhir menentang Leicester.
Dia menerima rawatan beberapa minit sebelum dibenarkan meneruskan permainan.
Awoniyi terus beraksi sekali pun dilihat tidak selesa ketika Forest, yang memburu tempat ke Liga Juara-Juara, sudah menggunakan semua pemain gantiannya.
Tahap kecederaan Awoniyi dikenal pasti pada Isnin oleh staf perubatan kelab itu sebelum dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.
Forest menyatakan kelmarin Awoniyi ‘semakin sembuh.’ – AFP
