AGRA, 31 MEI – Beberapa bahagian dalam kompleks Taj Mahal mengalami kerosakan termasuk pintu utama dan pagar yang mengelilingi lima kubahnya akibat ribut petir berbahaya yang melanda bahagian utara India, kata pegawai kerajaan hari ini.
Taj Mahal yang juga salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia dan menjadi tarikan pelancong nombor satu di India ditutup sejak pertengahan Mac lalu bagi mencegah penularan COVID-19.
Melalui gambar yang dirakam AFP menunjukkan bahawa pekerja sedang melakukan kerja pembaikan pagar di bahagian makam utama selepas ribut petir pada malam Jumaat lalu menjejaskan bandar Agra di negeri di utara, Uttar Pradesh.
“Salah satu pagar diperbuat daripada batu pasir yang merupakan bahagian daripada struktur asalnya rosak,” kata Penyelia Ahli Arkeologi dari Kaji Selidik Arkeologi India, Vasant Kumar Swarnkar.
“Salah satu pagar marmar yang merupakan struktur tambahan dan siling di kawasan berkumpul pelancong dan batu asas di pintu utama juga didapati rosak,” katanya. – AFP