Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tajaan percuma pelajar miskin satu pelaburan jangka panjang

    Gambar Agensi

    KUALA LUMPUR – Isu keciciran pelajar di peringkat pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan keluarga miskin dilihat agak membimbangkan, mendorong kerajaan menimbang penajaan percuma kepada mereka yang layak.

    Pakar melihat inisiatif itu tidak mudah dilaksanakan kerana membabitkan implikasi kewangan yang besar, namun tidak mustahil kata mereka, ada beberapa negara seperti Jerman, Perancis dan Finland yang telah melaksanakan inisiatif serupa dan boleh dijadikan model rujukan oleh Malaysia.

    “Perbelanjaan dalam pendidikan harus dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan, dan adalah sukar untuk melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran jika tiada peruntukan yang sewajarnya diberikan.

    “Justeru, pelaburan dalam pendidikan harus dijadikan agenda utama kerajaan kerana pulangannya kepada pembangunan negara amat signifikan untuk jangka masa lama,” kata Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh kepada Bernama.

    Kata pensyarah kanan di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu itu, bagi memastikan agenda menepati sasaran, kerajaan perlu melihat pelbagai aspek termasuk menetapkan jenis ‘laba’ yang bakal diraih daripada pelaburan tersebut.

    Pakar menjangkakan Malaysia akan kehilangan golongan professional dalam tempoh 10 tahun lagi jika ramai lepasan SPM kekal memilih tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat.
    Pelaburan dalam pendidikan harus dijadikan agenda utama kerajaan kerana pulangannya kepada pembangunan negara amat signifikan untuk jangka masa lama.
    Isu keciciran pelajar di peringkat pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan keluarga miskin dilihat agak membimbangkan, mendorong, kerajaan menimbang penajaan percuma kepada mereka yang layak.

    Impak menyeluruh

    Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini dilapor bercadang memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

    Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepa-da jemaah menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.

    Mengulas lanjut cadangan itu, Che Hasniza menggariskan beberapa perkara yang perlu ditekankan oleh kerajaan, termasuk proses saringan yang ketat serta pemantauan berterusan hingga pelajar tamat pengajian.

    “Hanya pelajar yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria dipilih, dan mereka yang terpilih pula perlu membuktikan mencapai syarat asas pengajian, misalnya berjaya mencapai Purata Nilai Akademik Gred Kumulatif (CGPA) yang diperlukan mengikut syarat penajaan pada semester pertama pengajian.

    “Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil kira hanya program pengajian tertentu yang mempunyai kebolehpasaran tinggi sahaja dibenarkan menerima tajaan tersebut, kerana, jika pelajar tidak memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, pelaburan yang dibuat seolah-olah tidak mendatangkan hasil,” katanya.

    Hal itu juga perlu bagi memastikan negara dapat melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan industri.

    Selain itu, kerajaan juga kata beliau, perlu tegas dengan pencapaian akademik pelajar termasuk menarik balik tajaan jika pelajar terbabit gagal mencapai CGPA yang ditetapkan.

    Komitmen kerajaan

    Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan statistik yang agak memeranjatkan apabila kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya.

    Kajian pada 2019 itu membabitkan 560,000 calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut, namun selepas keputusan diumumkan hanya sekitar 170,000 orang memilih untuk meneruskan pendidikan, sementara bakinya mahu memasuki pasaran buruh.

    Bernama, dalam laporan bahagian pertama sebelum ini, mengupas isu itu termasuk merungkai penyebab pelajar cemerlang daripada keluarga miskin cenderung memilih untuk bekerja daripada menyambung pendidikan serta impaknya jika situasi itu tidak ditangani segera.

    Isu itu tidak boleh dipandang sebelah mata kerana menurut pakar, Malaysia dijangka kehilangan golongan profesional dalam tempoh 10 tahun lagi jika ramai pelajar kekal memilih untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam masa terdekat.

    Bagi Timbalan Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Prof Dr Solehuddin Shuib, pemberian penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin adalah pilihan terbaik sebelum inisiatif itu dikembangkan kepada kumpulan lain.

    “Kita boleh jadikan generasi pertama sebagai permulaan dan diikuti generasi seterusnya secara bersasar sebelum keseluruhan generasi pelajar diberi pengajian percuma.” katanya.

    Jelas beliau, pendidikan percuma menunjukkan betapa seriusnya sesebuah negara tentang aspek hubungan ilmu dengan rakyatnya.

    Menurut beliau, melalui pendekatan yang tepat, anak-anak daripada setiap keluarga di Malaysia akan dapat ‘dibawa’ ke menara gading dan ‘dikembalikan’ kepada masyarakat dengan kelulusan dan kemahiran yang kompetitif, sekali gus berupaya membantu membangunkan tamadun dan Malaysia Madani.

    Ujar Solehuddin, hakikatnya Malaysia berada di landasan tepat kerana menjadi antara negara yang amat memberikan perhatian terhadap pendidikan rakyat, dari peringkat sekolah hingga universiti, dan hal ini dapat dilihat menerusi peruntukan yang disyorkan di bawah rancangan lima tahun Malaysia serta belanjawan negara.

    Misalnya, di bawah Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda