Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Biro Kawalan Narkotik telah menjalankan Operasi Loyal pada minggu pertama Julai dengan menumpukan kepada sindiket keluarga rangkaian dadah yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di Kampung Setia A dan penduduk setempat yang disyaki terlibat dalam menjalankan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
BKN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, serbuan telah dijalankan ke atas beberapa buah rumah yang telah dikenal pasti digunakan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kampung tersebut.
Setakat ini, Operasi Loyal menahan seramai 12 warga tempatan iaitu 10 orang lelaki dan dua orang perempuan dalam lingkungan umur 30 hingga 51 tahun kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan.
Dua buah keluarga yang ditahan semasa operasi itu didapati tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetapi mempunyai gaya hidup yang dinilai berkemampuan.
Siasatan lanjut telah mendapati keluarga berkenaan telah menjalankan aktiviti yang mempunyai unsur-unsur pembersihan wang haram bagi membersihkan semula hasil daripada kegiatan aktiviti pengedaran dadah.
Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 iaitu kesalahan pembersihan wang haram.
BKN turut memberikan amaran kepada pengedar-pengedar dadah yang bergiat aktif mengedar dadah terkawal bahawa mereka tidak akan terlepas daripada jangkauan penguatkuasaan undang-undang yang akan dilaksanakan oleh BKN.
Pengedar-pengedar dadah adalah musuh negara yang perlu dihapuskan kerana kegiatan mereka membawa kesan negatif kepada keharmonian kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta mengancam keselamatan negara.
Di kesempatan ini juga, BKN tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan keselamatan atas bantuan dan kerjasama yang diberikan ke arah menjayakan operasi ini.




